KUALA LUMPUR: Saksi utama pendakwaan kes rasuah Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau tidak mendedahkan nama bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu semasa memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, berkata ini kerana ketika itu beliau dimaklumkan bahawa SPRM akan menjalankan siasatan khas berhubung kes projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang membabitkan Lim.

Beliau berkata beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes penipuan ahli perniagaan G.Gnanaraja membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut yang sama.

Zarul Ahmad berkata demikian semasa peguam Haijan Omar, yang mewakili Lim, merujuk keterangan beliau kepada SPRM pada prosiding mencabar kredibiliti saksi itu di hadapan Hakim Azura Alwi hari ini.

Haijan: Setuju dengan saya bahawa Datuk tidak menyatakan dalam keterangan kepada SPRM berkenaan peranan yang dimainkan oleh Gnanaraja berhubung Lim kerana pegawai SPRM tidak membenarkan Datuk beri keterangan tersebut?

Zarul Ahmad: Bukan tidak benarkan tapi dia kata ada siasatan khas lain.

Kepada soalan lain, saksi itu berkata "'Memang saya dedahkan (segala perkara yang saya tahu) tapi dia kata itu siasatan khas jadi dia suruh jawab soalan spesifik yang dikemukakan."

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-23 itu tidak bersetuju dengan Haijan bahawa kenyataan beliau di mahkamah mengenai penglibatan Lim adalah sesuatu yang difikirkan semula kerana tidak dinyatakan dalam keterangannya kepada SPRM.

Zarul Ahmad berkata beliau menyedari ditipu Gnanaraja selepas wang RM19 juta yang diberikan untuk disalur kepada Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu bagi mengeratkan hubungan dengan Perdana Menteri menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 selain melindungi syarikatnya daripada pelbagai tohmahan, tidak disampaikan oleh ahli perniagaan tersebut.

"Saya beranggapan semua wang RM19 juta telah disalurkan kepada Datuk Seri Najib melalui Gnanaraja meskipun sehingga kini saya tidak pernah bertemu Datuk Seri Najib. Saya menyedari ditipu selepas pihak SPRM menjalankan siasatan dan saya tahu Perdana Menteri tidak terima wang itu," katanya.

Beliau bersetuju dengan Haijan bahawa pada Ogos 2017, Gnanaraja menghubunginya beberapa kali dan meminta RM2 juta meskipun sebelum itu saksi berkenaan telah memasukkan wang RM15 juta ke akaun syarikat Bumi Muhibbah Capital Holding Sdn Bhd milik ahli perniagaan tersebut.

Zarul Ahmad tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa keterangannya kepada SPRM bercanggah dengan keterangan beliau di mahkamah.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan bersambung 2 Mei ini.

-- BERNAMA