Prolintas harap pembinaan SUKE boleh disambung semula selepas seminggu

Hafiz Marzukhi
Januari 25, 2018 10:40 MYT
Tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai. - Astro AWANI
Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) memberi masa seminggu kepada kontraktor terbabit untuk memastikan kawasan berhampiran Taman Bukit Saga selamat sebelum menyambung semula pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
Pemangku Pengurus Besar SUKE Faizal Othman berkata pihaknya telah mengambil langkah segera susulan insiden bongkah batu yang terjatuh pada Selasa lepas.
"Pertama sekali, tembok penghadang konkrit sedia ada akan ditingkatkan untuk melindungi kawasan perumahan tersebut.
"Selain itu, kami juga akan mewujudkan kawasan perangkap atau 'trap' bagi batu-batu supaya kawasan tersebut lebih selamat," katanya.
Apabila ditanya sekiranya kewujudan bongkah batu sepanjang 1.5 meter dan selebar 1.5 meter disedari pihaknya ketika laporan risiko kawasan dibuat, Faizal berkata kawasan selamat sepanjang 30 meter sudahpun diwujudkan ketika pembinaan dimulakan.
"Namun, pada ketika itu (Selasa), kawasan tersebut berselut. Oleh itu, apabila bongkah batu tersebut jatuh pada jarak yang tinggi, ia telah menyebabkan percikan lumpur ke kawasan perumahan," jelas Faizal.
Walaupun projek pembinaan SUKE di kawasan tersebut telah dihentikan sementara, Faizal berharap ia tidak akan menganggu proses keseluruhan pembinaan lebuhraya tersebut.
"Ketika ini, SUKE sudah 20 peratus siap dan masih mengikut perancangan untuk siap sepenuhnya dan boleh beroperasi pada 2020," kata Faizal.
Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat bersama media bagi projek SUKE dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) di SUKE Galleria, Ampang Hilir.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Prolintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan Pengurus Besar DASH Latib Rasol.
#Ampang Hilir #DASH #FAIZAL OTHMAN #Galleria #Kontraktor #Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang #Lebuhraya Damansara-Shah Alam #Pemangku Pengurus Besar #PROLINTAS #suke #Taman Bukit Saga