PUTRAJAYA:Prosedur baharu penggajian dan penggajian semula pekerja asing serta ekspatriat, yang memerlukan majikan mengiklankan kekosongan terlebih dahulu dalam portal pengambilan pekerja negara, MYFutureJobs, adalah bertujuan memudahkan perekrutan bakat tempatan dan bagi memastikan bahawa mereka diberi keutamaan untuk mengisi sebarang peluang pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata kerajaan amat bimbang dengan kadar pengangguran dalam negara terutama apabila kira-kira 300,000 siswazah baharu memasuki pasaran pekerjaan tahun ini.

"Semua pemegang taruh utama, khususnya majikan dan persatuan berkaitan, digesa bekerjasama dengan kerajaan dalam membantu pengambilan pekerja tempatan terutama pada saat yang getir ini," menurutnya dalam kenyataan di sini pada Khamis. 

Merujuk kenyataan The Centre for Market Education (CME) semalam yang memberi amaran bahawa prosedur baharu itu mungkin membawa kepada penyusutan pelaburan langsung asing (FDI) dan minat perbadanan multinasional (MNC), beliau berkata ia tidak sepatutnya dilihat sebagai mempunyai kesan negatif ke atas aliran masuk FDI ke dalam negara.

"Ia sebaliknya adalah satu langkah positif yang berpotensi meningkatkan FDI pada masa akan datang," katanya.

Saravanan berkata kementerian itu menyedari bahawa sememangnya terdapat keperluan terhadap pekerja asing atau ekspatriat bagi sesetengah industri, khususnya bagi jawatan penting tertentu, dan tidak akan menolak permohonan sedemikian, dengan syarat terdapat justifikasi bahawa jawatan tersebut perlu diisi oleh bukan warganegara.

Beliau berkata terdapat banyak kelebihan dalam merekrut rakyat Malaysia daripada kumpulan bakat tempatan yang berpengalaman dan mahir dalam pasaran.

"Selain sudah biasa dengan Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa, budaya dan bahasa, mereka memahami kehendak pasaran tempatan, mempunyai kontak serta hubungan perniagaan tempatan selain kelebihan untuk memotivasi pekerja tempatan dan berinteraksi dengan pelanggan.

"Ini juga akan berguna apabila syarikat merancang meluaskan operasi ke rantau Asia," katanya.

Selain itu, Saravanan berkata syarikat boleh mendapat manfaat daripada Program Insentif Pengambilan Pekerja di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) apabila menggaji bakat tempatan.

"Bukan sahaja mereka layak mendapatkan insentif sehingga RM1,000 untuk setiap pekerja bagi tempoh sehingga enam bulan malah mereka juga boleh meningkatkan kemahiran bakat tempatan atau mengasahnya semula melalui kursus berkaitan tanpa perlu mengeluarkan belanja dan hanya perlu memilih daripada senarai yang mengandungi lebih 5,000 kursus," katanya.

Saravanan berkata majikan dijangka mengadakan temuduga kerja bagi menilai kesesuaian pencari kerja tempatan bagi jawatan sebagai prasyarat untuk mereka memohon pekerja asing atau ekspatriat.

Beliau memberi jaminan bahawa kementerian tidak akan campur tangan semasa proses temuduga itu dan majikan hanya dikehendaki melaporkan hasil temuduga bagi menyokong permohonan mereka untuk mengambil pekerja asing atau ekspatriat.

Saravanan berkata kementerian itu akan mengeluarkan soalan-soalan yang kerap ditanya (FAQ) dan garis panduan permohonan berhubung langkah tersebut sebelum 1 Nov ini.

"Sesi libat urus akan diadakan secara meluas untuk majikan dan persatuan majikan bagi membimbing mereka melalui proses itu," katanya.

-- BERNAMA