KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Department of Livestock Development Thailand (DLD) bersetuju menambah baik prosedur teknikal pengimportan lembu hidup dari negara jiran itu bagi memenuhi keperluan bekalan penyembelihan ibadah korban di Malaysia.

Jabatan itu dalam kenyataannya memaklumkan persetujuan bersama itu akan memudah cara pengimportan lembu hidup dari Thailand seperti menyediakan pilihan dalam perakuan bebas penyakit sumber import, termasuk menyingkatkan tempoh kuarantin di Malaysia kepada tiga hari.

"Pihak pengimport dan penternak dinasihatkan agar mematuhi syarat kesihatan veterinar yang dipersetujui berasaskan prosedur teknikal yang dimudah cara tersebut," menurut kenyataan itu.

Jabatan itu menasihatkan semua pihak terlibat untuk mendapatkan surat pemindahan ternakan antara negeri bagi tujuan pemantauan, serta permit penyembelihan luar untuk tujuan penyembelihan korban di luar rumah sembelih. Dokumen itu boleh dipohon di pejabat perkhidmatan veterinar negeri atau daerah terdekat.

Tindakan itu bagi membolehkan pegawai perkhidmatan veterinar di negeri atau daerah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan veterinar dalam memastikan ternakan yang akan dijadikan korban bebas jangkitan penyakit dan karkas atau daging korban yang diedarkan selamat untuk dimakan.

Pada Mac lepas, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan DLD telah mencapai persetujuan protokol import lembu hidup susulan kebenaran semula pengimportan lembu hidup daripada Thailand.

-- BERNAMA