Proses damai Thailand-Kemboja: Malaysia nafikan tuduhan tidak berasas

Mohd Nizam berkata tuduhan sedemikian, bukan sahaja tidak berasas dan tidak adil, malah amat mengecewakan, khususnya apabila ia datang daripada seorang bekas pegawai kanan tentera. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas yang dibuat Mejar Jeneral (Bersara) Rangsi Kitiyansap dari Thailand, yang menuduh Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai "tangan tersembunyi" atau "musuh dalam selimut" dalam proses rundingan damai Thailand-Kemboja.
Ringkasan AI
- Malaysia menafikan tuduhan tidak berasas dari Mejar Jeneral (Bersara) Rangsi Kitiyansap dari Thailand, yang mendakwa Malaysia dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai 'tangan tersembunyi' dalam proses rundingan damai Thailand-Kemboja.
- Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak adil, tidak berasas, dan menjejaskan profesionalisme serta kerjasama serantau.
- Malaysia memperjuangkan kestabilan, keselamatan, dan prinsip perpaduan serantau dalam proses damai, serta mengutuk politikkan proses damai oleh individu tanpa bukti yang boleh merosakkan kepercayaan dan keselamatan serantau.
"Selain itu, tuduhan tersebut memesongkan kandungan dan matlamat sebenar Kuala Lumpur Accord. Dokumen rasmi yang menjadi asas kepada proses ini bersifat telus dan telah dipersetujui bersama semua kerajaan terlibat. Ia mengariskan komitmen jelas yang hanya tertumpu kepada keamanan, keselamatan, kerjasama kemanusiaan dan kestabilan serantau.
"Pada ketika ini, sebarang cubaan untuk menjejaskan peranan Malaysia, kepimpinan Perdana Menteri kita, atau integriti Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) adalah berniat jahat. Ia menjejaskan matlamat utama proses ini, iaitu keamanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Nizam berkata Malaysia tidak pernah mahukan pengiktirafan atau pujian, dan satu-satunya kepentingannya adalah untuk memulihkan kestabilan, melindungi nyawa serta menegakkan prinsip perpaduan serantau.
Beliau berkata anggota tentera di kedua-dua belah sempadan berhak mendapat peluang untuk meletakkan senjata, manakala keluarga yang telah melalui berbulan-bulan ketakutan berhak menikmati keselamatan bagi membina semula kehidupan mereka, dan itulah yang sentiasa menjadi matlamat Malaysia.
"Angkatan Tentera Malaysia sejak sekian lama berpegang kepada prinsip bahawa keamanan paling baik dicapai melalui persefahaman dan kerjasama bersama.
"Dari Mindanao ke Timor-Leste hingga ke Lubnan, pasukan pengaman kita telah berkhidmat dengan penuh profesionalisme, berkecuali dan menghormati kedaulatan negara lain. Usaha memudah cara proses damai antara Thailand dan Kemboja, sebahagian daripada tradisi khidmat ini," katanya.
Mohd Nizam berkata keamanan memerlukan kesabaran, keberanian moral dan keupayaan untuk melihat melangkaui kepentingan peribadi atau kebanggaan politik, sambil menambah bahawa proses tersebut dipandu oleh tiga mesej utama iaitu keamanan itu mahal harganya, nyawa itu amat berharga dan masa itu sangat penting.
"Adalah amat dikesali apabila individu yang pernah beruniform memilih untuk mempolitikkan suatu proses yang bertujuan mencegah kehilangan nyawa yang lebih banyak.
"Menuduh seorang pemimpin lain sebagai pengkhianat atau perisik tanpa bukti bukan sahaja mencemarkan maruah yang dituduh, tetapi juga yang membuat tuduhan. Ia mengabaikan usaha gigih mereka yang bekerja secara senyap dan tanpa meminta penghormatan untuk mencapai keamanan serta meruntuhkan kepercayaan yang menjadi asas keselamatan serantau," katanya.
Beliau meminta semua pegawai, sama ada yang masih berkhidmat atau bersara, untuk menegakkan prinsip kebenaran, keadilan dan profesionalisme, sambil menekankan bahawa tanggungjawab seorang anggota tentera tidak berakhir apabila mereka bersara tetapi berterusan menerusi kebijaksanaan, kendalian diri dan teladan.
Mohd Nizam menyatakan keyakinannya bahawa Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT), bersama kerajaan Thailand dan Kemboja, akan menunaikan komitmen yang ditandatangani di Kuala Lumpur, dengan kemajuan yang sudah kelihatan di lapangan melalui penarikan balik senjata, operasi penghapusan ranjau yang sedang dijalankan dan komuniti sempadan yang mula kembali ke kehidupan normal.
"Inilah penanda kejayaan sebenar, bukan membuat tuduhan yang tidak berasas. Malaysia kekal teguh dalam komitmennya terhadap penyelesaian yang dipimpin ASEAN, penghormatan terhadap kedaulatan negara dan pelaksanaan telus semua perjanjian damai.
"Angkatan Tentera Malaysia akan terus berkhidmat sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam memajukan nilai-nilai bersama ini," katanya.
-- BERNAMA
Dapatkan berita ASEAN 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

