Dewan Rakyat hari ini secara sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing.

Ia selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengemukakan undian secara suara selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menggulung usul tersebut.

“Tidak ada suara yang tidak bersetuju. Usul disetujukan sebulat suara,” kata Mohamad Ariff mengakhiri hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14 pada Isnin.

Vui Keong sebelum itu menyifatkan usul itu sebagai satu usaha kerajaan dalam mewujudkan sebuah negara yang berakauntabiliti, telus dan bebas rasuah.

Malah, pihaknya kini sedang dalam proses untuk mewujudkan peruntukan undang-undang khusus berkenaan pengisytiharan harta melibatkan Ahli-ahli Parlimen.

“Kerajaan sememangnya dalam proses untuk menggubal peruntukan tersebut untuk dimasukkan dalam akta berkenaan. Ini masih dalam proses dan saya harap, ia dapat digubal dalam sesi persidangan Parlimen yang akan datang,” katanya.

Usul tersebut terpakai kepada semua Ahli Parlimen dan suami atau isteri masing-masing, anak-anak mereka berumur 21 tahun ke bawah dan pemegang amanah berkaitan.

Semua Ahli Parlimen perlu mengisytiharkan harta dalam tempoh tiga bulan sehingga 1 Oktober 2019 dengan mengisi borang akuan berkanun yang ditetapkan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Kesemua akuan berkanun itu perlu diakui sumpah sebagai mana ditetapkan dalam Akta Akuan Berkanun 1960 atau Akta 783 termasuk pendapatan bulanan dan semua harta alih dan tidak alih di dalam dan luar negara.

Akuan berkenaan kemudian akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan dan disalin kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kemudian dimuat naik senarai nama dan butiran harta Ahli Parlimen selama tempoh tiga bulan dari tarikh SPRM menerima akuan berkanun.

Memandangkan usul tersebut merupakan ketetapan Dewan yang akan mengikat semua anggota Parlimen, maka sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada arahan, Yang Berhormat boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

Sekiranya didapati membuat akuan tidak benar, maka ahli Parlimen itu tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan, dan jika disabit kesalahan, ahli Parlimen berkenaan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimun tiga tahun dan denda.