Proses pelantikan doktor, jururawat tetap berjalan lancar - SPA

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus (kanan) menandatangani plak perasmian sempena Majlis Perasmian Pusat Temu Duga (PTD) SPA Ipoh Perak di Pusat Transformasi Bandar (UTC). - Foto BERNAMA
IPOH: Proses pelantikan tetap bagi doktor dan jururawat sektor awam berjalan lancar dan dilaksanakan secara berperingkat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Ringkasan AI
- Proses pelantikan tetap doktor dan jururawat awam berjalan lancar dan dilaksanakan berperingkat oleh SPA, termasuk lebih 3,000 jururawat yang telah dilantik tetap.
- SPA akan mempercepat pelantikan 4,500 doktor kontrak seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026 serta menilai semula kaedah pelantikan bagi kelestarian sektor kesihatan.
- Kerajaan turut memberi keutamaan 30% kepada alumni PLKN 3.0 dalam pengambilan perkhidmatan awam sebagai pengiktirafan terhadap nilai disiplin dan patriotisme mereka.
"Proses pelantikan ini juga akan diteruskan dan disegerakan sebaik mungkin, seperti yang disarankan oleh kerajaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Temu Duga SPA di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh, yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Zamakhshari Hanipah.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini pelantikan 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober.
Ahmad Jailani berkata SPA baru-baru ini telah melaksanakan pelantikan tetap lebih daripada 3,000 jururawat, melibatkan lantikan baharu serta pengesahan jawatan bagi jururawat yang sebelum ini berstatus interim.
"Tiada tempoh perkhidmatan tetap ditetapkan, justeru mana-mana calon yang memenuhi syarat akan dilantik terus ke jawatan tetap tanpa sebarang halangan.
"Pelantikan sementara (interim) juga akan disusuli dengan pelantikan tetap, setelah proses penilaian dan syarat-syarat lain di bawah SPA dipenuhi. Segala tuntutan berkaitan telah dan akan dipenuhi dan mereka yang layak akan menerima jawatan tetap," katanya.
Beliau berkata SPA turut menegaskan bahawa kaedah pelantikan akan dikaji secara lebih terperinci, bagi memastikan kelestarian perkhidmatan kesihatan awam dalam jangka panjang, selaras keperluan semasa dan dasar kerajaan.
Sementara itu, beliau berkata SPA menggalakkan golongan belia untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, sebagai usaha membentuk jati diri dan semangat kenegaraan yang tinggi, selain meningkatkan peluang mereka untuk berkhidmat dalam sektor awam.
Ahmad Jailani berkata kerajaan menetapkan kuota khas sebanyak 30 peratus kepada alumni PLKN 3.0 yang menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE), untuk dipertimbangkan ke peringkat seterusnya.
"Langkah ini merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada bekas peserta PLKN 3.0 atas nilai tambah yang mereka miliki, termasuk disiplin, semangat patriotik dan kepimpinan yang diasah sepanjang latihan.
"Pemberian merit khas itu akan memberi keutamaan kepada peserta PLKN dalam proses saringan sehingga ke peringkat temu duga, bagi pengambilan ke perkhidmatan awam," katanya ketika diminta mengulas pemberian kuota 30 peratus kepada alumni PLKN 3.0 dalam proses pertimbangan permohonan pekerjaan di sektor awam.
Beliau berkata kerajaan sentiasa membuka peluang kepada semua individu untuk memohon pelbagai jawatan di bawah SPA, namun kelayakan untuk dipanggil ke temu duga masih bergantung kepada prestasi calon dalam ujian, iaitu salah satu komponen utama dalam proses pengambilan penjawat awam.
Dalam pada itu berkenaan program hari ini, Ahmad Jailani berkata pusat temu duga baharu di UTC Ipoh itu bagi memperkukuh kemudahan serta kecekapan proses pengambilan perkhidmatan awam di negeri Perak.
Pusat temu duga itu sebelum ini beroperasi di lot asal bernombor 29 dan 31 sejak 2016, sebelum dipindahkan ke lokasi baharu susulan cadangan penyusunan semula ruang oleh Kementerian Kewangan (MOF) kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 16 Dis 2023, bagi meningkatkan keselesaan pengunjung serta kecekapan operasi agensi kerajaan.
Beliau berkata pusat berkenaan bukan sahaja berperanan sebagai lokasi rasmi temu duga, malah turut menyediakan khidmat konsultasi dan penyampaian maklumat secara tepat kepada calon serta orang awam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


