MALAYSIA
Proses pelantikan Ketua Hakim Negara patuhi Perlembagaan Persekutuan - Azalina

Azalina berkata dalam hal ini, Majlis Raja-Raja akan bersidang bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Julai ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan bahawa pengisian kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
Ringkasan AI
- Pengisian jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dengan nasihat Perdana Menteri dan rundingan Majlis Raja-Raja.
- Kerajaan memahami kepentingan menjaga integriti institusi kehakiman dan komited memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem ini.
- Buat sementara waktu, Hakim Besar Malaya menjalankan tugas Ketua Hakim Negara sehingga pelantikan baharu dibuat.
Azalina berkata dalam hal ini, Majlis Raja-Raja akan bersidang bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Julai ini.
Beliau memaklumkan Jemaah Menteri pada hari ini telah membincangkan isu kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan serta mengambil maklum sepenuhnya akan perhatian dan kebimbangan orang ramai mengenai perkara itu.
Menurut Azalina kerajaan amat memahami keprihatinan rakyat tentang pentingnya memelihara kelangsungan dan integriti institusi kehakiman sebagai tunjang kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata Kerajaan MADANI kekal komited untuk memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi kehakiman termasuk dengan meneliti langkah penambahbaikan jangka panjang ke arah meningkatkan ketelusan dan kebebasan badan kehakiman.
"Kerajaan juga ingin menyeru semua pihak memberi ruang agar proses yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dapat berjalan dengan lancar dan sewajarnya demi kepentingan negara, kedaulatan undang-undang dan kestabilan institusi," katanya.
Dalam pada itu, Azalina berkata Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan) sehingga jawatan itu diisi.
Pelantikan itu, katanya selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta perenggan 9(1)(b) dan subseksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi memastikan kelangsungan pentadbiran keadilan negara.
Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang juga wanita pertama memegang jawatan tertinggi kehakiman itu bersara wajib pada 2 Julai lepas manakala Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim bersara wajib daripada jawatan Presiden Mahkamah Rayuan pada 3 Julai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami