MELAKA: Proses pengambilan tanah seluas 28.28 hektar bagi membangunkan sebuah loji Sisa Ke Tenaga (WTE) atau insinerator di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini kini di peringkat akhir.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata pembinaan insinerator itu perlu disegerakan berikutan tapak pelupusan sampah berkenaan dijangka mencapai tahap kapasiti maksimum menjelang April 2024.

Beliau berkata pembinaan insinerator berkenaan dijangka dapat disiapkan pada 2026 dan Melaka menjadi negeri pertama di Malaysia mengguna pakai teknologi terkini dan hijau dalam aspek pengurusan sisa pepejal.

"Ada beberapa perkara masih belum selesai termasuk proses pembayaran pengambilan tanah berkenaan namun ia dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini.

"Pada Isnin ini, saya akan adakan satu mesyuarat bersama pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memastikan proses pembayaran kepada pemilik tanah dapat disegerakan," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Kemuncak Hari Kitar Semula Sisa Fabrik 2022 Bagi Mendapatkan Pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) yang turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Rizalman Mokhtar.

Zaidi berkata pada tahun lepas sebanyak 346,750 tan sampah telah dihantar ke tapak pelupusan di Sungai Udang itu dengan kos pelupusan sebanyak RM12.6 juta.

"Setiap tahun jumlah janaan sampah akan meningkat selari dengan pertambahan populasi penduduk di negeri Melaka, menyebabkan tapak pelupusan sedia ada tidak dapat bertahan lama," katanya.

Beliau berkata berdasarkan hasil kajian komposisi sisa 2021 yang telah dijalankan SWCorp di Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang mendapati sebanyak empat peratus atau 13 tan daripada keseluruhan sisa pepejal dijana rakyat Melaka di tapak pelupusan berkenaan terdiri daripada sisa fabrik.

Sebagai antara langkah penyelesaian jelasnya, sebuah pusat pengumpulan sisa fabrik dikendalikan syarikat pemprosesan sisa fabrik yang berpangkalan di Klang, Selangor akan dibuka di daerah Melaka Tengah pada hujung tahun ini bagi memudahkan usaha pengumpulan barangan berkenaan.

Terdahulu pada majlis itu, Zaidi mewakili kerajaan negeri Melaka menerima pengiktirafan daripada MBOR bagi kategori Kutipan Barangan Fabrik Kitar Semula Terbesar dalam Sehari dengan jumlah kutipan sebanyak 56,000 kilogram yang disampaikan Perunding Rekod Kanan MBOR Siti Hajar Johor.

Menerusi kempen kutipan sisa fabrik yang berlangsung selama 24 jam bermula semalam itu, sebanyak 60 pusat pengumpulan telah diwujudkan bagi membolehkan rakyat Melaka menghantar sisa fabrik mereka terdiri daripada pakaian terpakai, langsir, mainan lembut, kasut, cadar dan beg.

-- BERNAMA