MALAYSIA

Proses pengantaraan gagal, perbicaraan kes saman Mohd Na'im terhadap Papagomo diteruskan

Bernama 27/01/2026 | 14:45 MYT
Kes saman fitnah Datuk Mohd Na'im Mokhtar (foto) terhadap penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau Papagomo, akan diteruskan dengan perbicaraan selepas gagal diselesaikan secara baik. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar terhadap penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau Papagomo, akan diteruskan dengan perbicaraan selepas gagal diselesaikan secara baik.


Ringkasan AI
  • Kes saman fitnah antara Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Papagomo diteruskan selepas gagal diselesaikan melalui pengantaraan.
  • Pihak Papagomo tidak bersetuju dengan terma-terma penyelesaian yang dicadangkan, menyebabkan mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 21 dan 24 Sept.
  • Mohd Na'im mendakwa Papagomo menyiarkan kenyataan fitnah yang merosakkan reputasinya sebagai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).


Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Mohd Na'im, berkata proses pengantaraan menemui jalan buntu selepas Wan Muhammad Azri tidak bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

"Sehubungan itu, perbicaraan kes saman yang telah ditetapkan pada 21 dan 24 Sept ini diteruskan... bagaimanapun, mahkamah menetapkan 6 Mac untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak memaklumkan sekiranya terdapat penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding dalam kamar berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kenneth Yoong Ken Chinson St James, yang bertindak sebagai pengantara.

Prosiding pengantaraan itu, yang berlangsung selama sejam, turut dihadiri oleh Mohd Na'im dan Wan Muhammad Azri bersama peguamnya, Logen Eskandar Abdullah.



MAHKAMAH-NA'IM 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Mohd Na'im, yang memfailkan saman itu pada 19 Okt 2023, mendakwa Wan Muhammad Azri telah menerbitkan satu hantaran berbaur fitnah terhadapnya di akaun Facebook dikenali sebagai Sir Azri bertarikh 18 Sept 2023.

Beliau mendakwa defendan telah memuat naik satu klip video berdurasi enam minit 41 saat yang diambil daripada akaun TikTok '@nurhafizulbadrulhisham'.

Mohd Naim mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak membuat atau melakukan apa-apa tindakan positif bagi kesejahteraan agama Islam.

Hal ini kerana plaintif kononnya mempunyai kes berkaitan tuduhan seksual atau lucah maka beliau dianggap sebagai seorang penunggang agama yang tidak cakna dengan kestabilan masyarakat Melayu beragama Islam di Malaysia.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, menjatuhkan maruah dan merendahkan statusnya di mata masyarakat umum.

-- BERNAMA


#proses pengantaraan gagal #saman fitnah #Mohd Na'im Mokhtar #Papagomo