Prosiding Jong Nam: Empat lelaki terlibat pembunuhan didedah

Hafiz Marzukhi
Oktober 12, 2017 05:56 MYT
Saksi kesembilan mendedahkan nama samaran empat lelaki yang terlibat dalam pembunuhan Kim Jong Nam. - Foto fail/REUTERS.
Nama samaran empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam didedahkan ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Saksi kesembilan, Asisten Superitenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz memberitahu mahkamah bahawa empat individu tersebut dikenali sebagai Mr Chang, James, Mr Y dan Hanamori yang turut dikenali sebagai Grandpa atau Uncle.
"Mr Chang yang dilihat bersama Siti Aisyah di Bibik Heritage (salah sebuah kedai makan di KLIA2) dipercayai bertanggungjawab menyapu cecair kimia ke atas tangan Siti Aisyah.
"Mr Y pula, yang dilihat di dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memasuki balai pelepasan KLIA2 bersama Doan Thi Huong dipercayai bertanggungjawab menyapu cecair kimia ke atas tangan Doan," kata ASP Wan Azirul Nizam.
Sementara itu, menurut beliau, James pula bertanggungjawab merekrut Siti Aisyah manakala Hanamori dipercayai berperanan memberi arahan kepada Mr Y.
Selain itu, ketika sesi pagi perbicaraan kes tersebut, Hakim Datuk Azmi Ariffin juga menetapkan 24 Oktober sebagai tarikh untuk membawa prosiding ke KLIA2 untuk sesi mahkamah terbuka.
"Saya tetapkan sesi untuk bermula pada jam 9.30 pagi," kata beliau.
Sesi pagi perbicaraan kes diteruskan dengan saksi kesepuluh iaitu Ketua Unit Asid deoksiribonukleik (DNA) Jenayah, Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saidon.
Beliau dipanggil untuk memberi keterangan berdasarkan analisis DNA yang dilaksanakan beliau ke atas barang kes.
Perbicaraan akan disambung petang ini dengan memanggil semula Nor Aidora untuk memberi keterangan.
#Datuk Azmi Ariffin #kim jong nam #Mahkamah Tinggi Shah Alam