KUALA LUMPUR : ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) menerusi beberapa inisiatif telah tampil sebagai platform yang dilihat mampu memperkasakan lagi sistem kesihatan negara.

Menurut Pengurus PEKA B40, ProtectHealth, Dr Nor Hasanah Mardhiah Mohd Nor, ia juga merangkumi manfaat terhadap golongan B40 antaranya dari sudut bantuan kewangan untuk menampung rawatan kesihatan.

“Sehingga kini ProtectHealth telah berjaya menjalankan 544,092 saringan kesihatan di seluruh negara dan di Sarawak sahaja kita telah menyaring 70,331 penerima yang layak di bawah skim PEKA.

“Daripada 544,000 penerima yang telah disaring kita telah mengesan 36 peratus daripada mereka mempunyai salah satu penyakit yang baru dikesan.

“Selain itu kita turut memperuntukkan bantuan perkhidmatan terhadap golongan B40 dari segi peralatan perubatan dengan pertuntukan sebanyak RM20,000 bagi individu yang layak,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Nor Hasanah berpendapat, penglibatan sektor swasta bersama kerajaan perlu diperluaskan lagi sebagai usaha untuk memperkukuh sistem kesihatan negara.

Ujarnya, tindakan itu juga mampu mengurangkan kos selain gabungan beberapa pakar lain dapat dibentuk melibatkan kerjasama antara kedua-dua sektor tersebut.


Sistem Kesihatan | ProtectHealth bantu perkasa sistem kesihatan