ProtectHealth, Teraju tandatangani MoU promosikan kesedaran PeKa B40

Bernama
Mac 23, 2022 14:41 MYT
Dr Anas berkata program tersebut merupakan satu inisiatif untuk menangani trend peningkatan NCD dalam kalangan B40, dengan tujuan utamanya ialah mengesan NCD lebih awal bagi pencegahan awal. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dan Teraju Bumiputera Corporation telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi mempromosikan kesedaran yang lebih baik mengenai program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).
ProtectHealth dalam satu kenyataan hari ini menyatakan menerusi MoU dan perancangan strategik, Teraju akan mengenal pasti klinik-klinik yang akan mengambil bahagian dalam program itu, bagi meningkatkan lagi ketersampaian program itu kepada komuniti B40 Bumiputera, di seluruh negara.
Kenyataan itu menyebut sehingga kini hanya 567,956 orang daripada kumpulan B40 telah menyertai dalam program itu, yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma, peralatan sokongan perubatan percuma, insentif untuk rawatan kanser dan juga insentif pengangkutan.
"Kami fokus dalam membawakan PeKa B40 dekat dengan rakyat dan menerusi kerjasama dengan Teraju, kami akan dapat meningkatkan kecapaian program itu ke seluruh negara. Teraju sebagai rakan strategik akan meningkatkan rangkaian, dalam memastikan lebih ramai penerima yang akan dapat menikmati faedah PeKa B40," kata Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Datuk Dr Anas Alam Faizli dalam kenyataan tersebut.
Dr Anas berkata program tersebut merupakan satu inisiatif untuk menangani trend peningkatan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dalam kalangan B40, dengan tujuan utamanya ialah mengesan NCD lebih awal bagi pencegahan awal.
"NCD sentiasa menjadi salah satu daripada kerisauan utama dalam masyarakat kita, dan program itu akan menggalakkan pengesanan awal dan pengawalannya," katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Teraju Md Silmi Abd Rahman berkata kerjasama itu merupakan satu contoh bagaimana penyampaian strategik kerajaan dapat diperingkatkan lagi kepada penerima yang disasarkan, menerusi ekosistem Teraju kepada komuniti B40 Bumiputera yang tidak mendapat perkhidmatan tersebut.
-- BERNAMA
#ProtectHealth #Teraju #PEKA #B40