MALAYSIA
Protes Kampung Sungai Baru: PMKL dakwa campur tangan pihak luar cetus kekecohan

Polis dan FRU mengawal keadaan di Kampung Sungai Baru semalam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur (PMKL) mendakwa kekecohan yang berlaku di Kampung Sungai Baru semalam, berpunca daripada campur tangan pihak luar yang cuba mempengaruhi penduduk agar menolak projek pembangunan semula kawasan itu.
Pengerusinya Hussen Zulkarai berkata tindakan pihak luar yang hadir serta membuat provokasi adalah tidak wajar kerana majoriti penduduk telah memberi persetujuan untuk berpindah dan menerima pampasan yang ditawarkan pemaju.
"Sebahagian besar penduduk memahami manfaat pembangunan ini dan bersetuju menyerahkan rumah mereka. Malah ada yang sudah berpindah, menerima pampasan dengan jumlah yang memadai termasuk elaun sewa sementara yang ditanggung pemaju.
"Namun, kehadiran pihak luar dengan niat menghasut hanya menimbulkan salah faham dan ketegangan," katanya pada sidang media di sini hari ini.Menurut Hussen, dokumen berkaitan projek itu lengkap dengan kelulusan Pejabat Tanah dan agensi berkaitan, sekali gus membuktikan ia telah melalui proses yang sah.
Beliau menegaskan, kehadiran polis serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di lokasi itu hanyalah bagi memastikan keamanan, bukannya melakukan provokasi terhadap penduduk.
"Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pembangunan semula Kampung Sungai Baru berjalan lancar tanpa campur tangan pihak berkepentingan. Isu ini tidak wajar dipolitikkan kerana akhirnya yang akan menikmati manfaat ialah penduduk sendiri," katanya.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu dijangka memberi peluang kepada penduduk untuk memiliki kediaman lebih selesa dan moden, selain pampasan yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit bagi sesetengah pemilik rumah.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika operasi pengosongan 37 unit rumah teres Kampung Sungai Baru, semalam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami