Protes Thailand: Dua pemimpin gerakan pelajar ditahan semula, pelajar kemuka petisyen

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 21, 2020 15:26 MYT
Para pelajar universiti di Bangkok menunjukkan simbol sebagai tanda protes terhadap kerajaan pemerintahan Prayuth Chan-ocha. - Gambar REUTERS
BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand membawa dua pemimpin utama gerakan tunjuk perasaan pelajar Thailand ke mahkamah pada Rabu sebagai usaha melanjutkan penahanan mereka.
Kedua-dua pemimpin pelajar itu ditahan semula sehari selepas mereka diikat jamin.
Parit "Penguin" Chiwarak dan Panusaya "Rung" Sithijirawattanakul ditahan semasa percubaan bermalam di luar pejabat perdana menteri pada malam 14 Oktober.
Pada masa sama, enam pelajar universiti mencabar pengisytiharan kerajaan mengenai keadaan darurat di Mahkamah Sivil.
"Kami, enam pelajar universiti, sebagai rakyat yang hanya menggunakan hak asasi dan kebebasan kami, seharusnya dilindungi oleh negara tetapi dihukum secara tidak wajar dan tidak adil dan dilucutkan oleh pemerintah.
"Bersama-sama ini kami mengajukan petisyen kepada pengadilan untuk menarik semula sementara penguatkuasaan keputusan darurat, sehingga mahkamah mendapat keputusan dalam kes tersebut," ujar seorang pelajar undang-undang, Nuengruethai Kijakansupharoek.
Keputusan itu mengenakan sekatan baharu termasuk melarang perhimpunan politik melebihi lima orang.
Sehari selepas mengenakan sekatan baharu itu, polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan aman di persimpangan jalan di Bangkok.
Para pelajar tersebut menyifatkan langkah itu tidak sesuai dengan standard antarabangsa.
Keputusan itu digunakan sebagai alat hukum untuk menyekat hak berhimpun dan secara tidak adil melanggar hak dan kebebasan rakyat.
#Thailand #Bangkok #rakyat #undang-undang #protes #protes Thailand #Parit Penguin Chiwarak #Panusaya Rung Sithijirawattanakul