Proton, 30 tahun! Pelbagai promosi sebagai ucapan ‘Terima Kasih’

Astro Publication
Julai 8, 2015 16:15 MYT
Pada 9 Julai 1985, Malaysia membuat sejarah dengan pelancaran produk pertama daripada Proton, iaitu model Saga. Setelah tiga dekad berlalu, hari ini juga menandakan ulang tahun ke-30 Proton; dan pihak syarikat ingin memberi mengucapkan ‘terima kasih’ kepada semua dengan beberapa tawaran yang akan memberi manfaat kepada semua pembeli.
Bermula hari ini (9 Julai) sehingga 30 September 2015, Proton akan memberi rebat RM3,000 untuk semua model kepada pembeli yang meraikan hari jadi ke-30 tahun ini (dilahirkan pada tahun 1985).
Tambahan lagi, Program Kesetiaan menawarkan pakej penukaran khas untuk pelanggan sedia ada; kereta lama mereka boleh ditukar kepada pembelian model baharu dengan rebat sebanyak RM100 bagi setiap tahun umur kereta milik mereka sekarang.
Pilihan tawaran juga termasuk harga jualan RM30,000 (termasuk insurans dan cukai jalan) bagi model asas Proton Saga. Dengan setiap bentuk promosi ini, Proton juga akan menyalurkan RM30 bagi setiap kenderaan Proton yang dijual kepada tabung khas yang telah diwujudkan. Tiga badan amal akan dipilih untuk menerima jumlah wang yang telah disimpan pada akhir tahun nanti.
Mengikut kata Dato’ Harith, ketua pegawai eksekutif Proton, “Ini adalah cara kami menyampaikan terima kasih kami kepada pelanggan kami yang telah memberi sokongan sepanjang tiga dekad.”
Promosi ‘Even More Value’ yang dijalankan sebelum ini juga masih berjalan seperti biasa. Antara lain, ia menawarkan pembiayaan dengan kadar faedah serendah 1.99% khas bagi model-model Saga dan Iriz. Pembiayaan 100% diberikan kepada penjawat awam, manakala lulusan pengajian tinggi boleh mendapat pakej belian menarik. Semua kenderaan Proton juga sekarang dibekalkan dengan waranti tambahan selama tujuh tahun.
# iriz #Proton