Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) menjangka melancarkan unit terurai untuk dipasang (CKD) model kenderaan utiliti sukan (SUV) X70 terbaharunya selepas pengembangan kilang di Tanjung Malim selesai.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Radzaif Mohamed berkata pengembangan yang menelan kos RM1.4 bilion itu dijadualkan siap pada suku keempat tahun depan, yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang tersebut kepada 250,000 unit kereta setahun daripada 150,000 ketika ini.

"Kami akan menyiapkan kilang itu sebelum kami boleh memasang Proton X70 di sana. Pengembangan itu akan termasuk pembinaan baharu yang khusus bagi memasang model baharu.

"Pengembangan kilang itu perlu mematuhi keperluan Geely, dari segi automasi dan kualiti, dan itulah sebabnya mengapa pengembangan itu mengambil masa lebih lama daripada biasa," katanya kepada pemberita di luar acara Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIAC 18) di sini, hari ini.

Setakat ini, katanya, pra-tempahan bagi Proton X70, yang akan dilancarkan secara rasmi pada Disember ini, telah melebihi 12,000 unit.

Radzaif berkata model terbaharu Proton akan melengkapkan aspirasi kerajaan untuk beralih kepada revolusi Industri 4.0, dari segi memiliki banyak ciri-ciri automasi dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata beberapa ciri dalam model baharu itu boleh dikawal oleh telefon pintar, termasuk mengunci dan membuka kunci kereta, menaikkan tingkap serta memeriksa tekanan tayar dan mengesan lokasi kereta.

Selepas model kereta itu dipasang di dalam negara kelak, Proton menyasar sehingga 70 peratus komponen tempatan dipasang dalam setiap unit.

Persidangan dua hari itu yang bertemakan "Beyond Mobility: Moving Sustainably" adalah platform di mana pakar industri dan pemain utama berhimpun untuk bertukar-tukar pandangan berkaitan industri dan pelan hala tuju menjangkaui 2025.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Automotof Malaysia serentak dengan Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018.

-- BERNAMA