DREBAR

Proton Perdana muncul malu-malu di Alami Proton

Astro Publication 05/10/2015 | 10:02 MYT

Sewaktu acara Alami Proton hujung minggu baru-baru ini, yang paling mendapat liputan adalah pendedahan kelibat pertama Proton Perdana baharu yang dilakukan sendiri oleh pengerusi syarikat, Tun Mahathir.

Jika sebelum ini mungkin agak ramai yang sudah ‘melihat’ sedan segmen D ini menerusi klip pendek filem ‘Kapsul’, namun Proton sendiri mendedahkan bahawa kereta yang digunakan pada ketika itu bukanlah versi terakhir untuk pengeluaran.

Jadi sekarang kita sudah mengetahui bahawa sebenarnya projek Perdana baharu sudahpun selesai, ditambah lagi dengan pengesahan bahawa ia akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2016 mengikut kata ketua pegawai eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith.

Cuma tak banyak yang kita dapat lihat daripada sedikit kelibat tersebut. Namun adakah ia tidak banyak beza daripada Honda Accord (generasi kelapan) yang menjadi asas kepada model ini? Nampaknya tidak. Banyak juga perbezaan.

Melihat kepada bentuk kereta ini yang ditutup kain, bahagian belakang (dilihat dari sisi) mempunyai cermin belakang yang tidak terlalu curam. Ia juga mempunyai antena radio jenis ‘sharkfin’, satu ciri yang tidak dibawa dari Accord.

Saiznya juga lebih besar: dengan panjang keseluruhan 4,999mm berbanding Honda Accord gen-8 iaitu 4,950mm. Enjin masih lagi mengekalkan unit petrol berkapasiti empat silinder 2.0-liter dan 2.4-liter yang digunakan Honda. Cuma jangan lupa bahawa Proton memang sudah diketahui sedang giat menjalankan pembangunan untuk enjin-enjin baharu.

Sekarang, kita tunggu sehingga Perdana ini dilancarkan. Melainkan Proton sudi berkongsi lebih banyak maklumat mengenai sedan yang ditunggu-tunggu ini…

# # Alami Proton # Perdana #Proton