PRU mengejut: Saya tidak tahu, ia bukan agenda utama saya - Hamzah Zainudin

Isabelle Leong
Julai 6, 2020 07:30 MYT
HAMZAH: Pada saya, sama ada PRU akan diadakan dalam masa terdekat atau dalam jangka masa yang panjang, ia tidak menjadi agenda utama saya. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan kebarangkalian bakal berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut dalam masa terdekat.
Hamzah berkata berita mengenai PRU mengejut tersebut mungkin merupakan perbualan dalam kalangan menteri-menteri kanan dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Wow! Saya tidak tahu. Saya bukan menteri kanan. Itu mungkin perbualan antara menteri kanan dan perdana menteri.
“Bagi saya, saya hanya Menteri Dalam Negeri yang biasa, yang menjaga rakyat dan keselamatan negara.
“Pada saya, sama ada PRU akan diadakan dalam masa terdekat atau dalam jangka masa yang panjang, ia tidak menjadi agenda utama saya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan kapal peronda kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Pelabuhan Klang pada Isnin.
Tambah Hamzah, agenda utamanya adalah bagi memastikan rakyat mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri.
“Agenda utama saya ialah supaya rakyat yakin dengan kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang benar-benar mempunyai gabungan yang lebih teguh daripada kerajaan sebelum ini,” ujarnya.
Pada Sabtu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan yang dipimpin Muhyiddin sudah mempunyai kriteria yang cukup untuk mengadakan PRU mengejut.
Kata Azmin, ia dibuktikan menerusi kejayaan menangani krisis kesihatan awam, politik dan ekonomi.
Berdasarkan laporan Sinar Harian yang memetik Sin Chew Daily, Azmin berkata PRU boleh diadakan pada tahun ini atau tahun depan.
#agenda #Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #APMM #Azmin Ali #Hamzah Zainudin #mengejut #Menteri Dalam Negeri #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Perikatan Nasional #pilihan raya #PN