PENAMPANG: Penyandang kerusi Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi di Pusat Mengundi Sekolah Rendah ST Aloysius, di sini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Warisan mengundi sekitar pukul 9.30 pagi bersama isterinya, Jennifer Jongiji.

Darell yang dianggap sebagai ‘giant killer’ berdepan saingan empat penjuru di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau yang menyandang kerusi Parlimen Penampang sejak dua penggal lalu ditentang calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Kenny Chua Teck Ho.

Turut memberikan saingan ialah calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ewon Benedict dan seorang calon Bebas, Richard Jimmy.

Pada PRU13, Darell yang bertanding atas tiket PKR, memenangi Parlimen Penampang selepas menewaskan Presiden UPKO, Tan Bernard Dompok.

Atas kejayaannya itu, beliau mendapat gelaran `giant killer’.

Sementara itu, Darell ketika ditemui media berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menambah baik proses pengundian terutamanya melibatkan saluran warga emas.

“Proses hari ini lancar. Saya hanya sedikit kecewa kerana di Saluran 1 tempoh menunggu terlalu lama.

“Mungkin SPR perlu mencari satu penyelesaian yang cepat dan baik supaya pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab secepat mungkin.

“(Keadaan ini berlaku) Mungkin kerana kadar keluar mengundi begitu tinggi, dan kebanyakan mereka adalah pengundi berusia dan proses mengundi perlu cepat,” katanya.

Pada PRU14 pula, Darell menang dengan majoriti 23,473 undi, mengalahkan tiga lagi pencabar.

Bagi Parlimen Penampang, seramai 77,214 pengundi berdaftar layak menjalankan tanggungjawab pada PRU15.