KUALA LUMPUR: Seseorang ahli politik yang sudah didakwa di mahkamah atas apa sahaja kesalahan tidak sepatutnya bertanding dalam pilihan raya, kata peguam bela dan peguam cara, Datuk Salehuddin Saidin.

Menurut, walaupun tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang menghalang mereka berbuat demikian, namun ia akan membawa kesulitan kepada pelbagai pihak, terutamanya rakyat.

Menurut Perkara 8 Fasa 1 yang dibaca bersama Fasa 5 (dalam Perlembagaan Persekutuan), seseorang yang didakwa di mahkamah itu masih berkelayakan menjadi calon, melainkan beliau kemudian disabitkan dan dijatuhkan hukuman tidak kurang daripada setahun penjara atau tidak kurang RM2,000 denda, maka beliau akan hilang kelayakan.

“Apa yang saya lihat, kalau seseorang itu telah dituduh di mahkamah, risiko untuk beliau disabitkan agak tinggi. Walaupun, memang benar, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Katalah beliau ditakdirkan menang, menjadi Ahli Parlimen atau Menteri, kemudian perbicaraan diteruskan, maka fokusnya di mahkamah mengatasi masanya untuk rakyat,” katanya ketika ditemu bual program Agenda AWANI semalam.

Salehuddin menjelaskan, sekiranya ditakdirkan wakil rakyat terbabit disabitkan dan dijatuhkan hukuman melebihi setahun, undang-undang menyatakan beliau masih layak sehingga beliau menggunakan dua peluang rayuan.

Andai kata proses rayuan dua kali itu selesai dan sabitan dikekalkan dan permohonan rayuan untuk pengampunan juga ditolak, maka barulah beliau hilang kelayakan, tambahnya.

Sekiranya proses tersebut mengambil masa dua tahun misalnya, sehingga beliau disahkan gugur kelayakan, kerusinya yang kosong itu perlu diisi, lantas pilihan raya perlu diadakan.

“Jadi bayangkanlah. Pertama, kos yang perlu dibelanjakan untuk mengadakan pilihan raya.

"Kedua, wakil rakyat tersebut yang telah dipilih oleh rakyat yang mengharapkannya memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan membawa segala masalah mereka ke Parlimen, tidak tercapai, disebabkan tempohnya yang singkat dan fokusnya pun kurang.

“Apabila penggantinya sudah terpilih, tempoh beliau untuk berkhidmat pula mungkin setahun atau dua tahun sahaja, jadi kesinambungan itu agak longgar.

“Akhirnya, siapa yang menjadi mangsa? Rakyat,” kata Salehuddin.

Maka oleh hal yang demikian, beliau merasakan sudah tiba masanya Ahli-Ahli Parlimen yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti mempunyai keazaman untuk meminda undang-undang supaya mereka yang telah dituduh di mahkamah tidak lagi boleh bertanding.

PRU15 | Ini sebab ahli politik didakwa di mahkamah tak patut bertanding