TUARAN: Bukan sekadar Unduk Ngadau, Jo-Anna Sue Henley Rampas membawa sekali semangat legenda ‘Huminodun’ sebagai perisai untuk beliau berdepan saingan di kerusi Parlimen Tuaran.

Calon Parti Warisan (Warisan) bagi kerusi Parlimen Tuaran itu berkata, beliau tidak hanya mahu dianggap sebagai ratu cantik, sebaliknya seorang yang digeruni oleh pihak lawan.

Justeru, Timbalan Ketua Wirawati Warisan itu menegaskan tidak gentar berdepan dua calon yang dianggap ‘giant’ iaitu Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Pakatan Harapan) dan Datuk Joniston Bangkuai daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengakui dilabel sebagai masih ‘hijau’ dalam arena politik, Jo-Anna, 33 tahun, bagaimanapun berkata semangat juang untuk membawa perubahan di Tuaran dan Sabah, tidak pernah luntur.

“Jika anda ingin membuat perubahan, anda mesti melakukan sesuatu, dan pertama sekali, satu langkah di hadapan.

“Saya katakan Huminodun, yang akan mempertahankan hak dan juga warisan di Sabah.

“Jadi apabila kita melihat sejarah Huminodun, dia telah mengorbankan dirinya untuk memberi makan kepada rakyat yang kebuluran pada masa itu,” katanya ketika ditemui selepas ramah mesra dengan penduduk di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tamparuli, di sini malam tadi. 

.


SEMAK SEMUA CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI

Graduan undang-undang dari United Kingdom itu menambah, beliau menggunakan analogi kisah legenda Huminodun kerana ia disifatkan dekat dengan perjuangannya.

“Jadi selalu orang katakan bahawa ini Unduk Ngadau, tetapi tidak!

“Ini bukan sebarang Unduk Ngadau tetapi ini ialah Huminodun dan sebenarnya sedang melakukan perubahan untuk Sabah,” ujar anak jati Kiulu itu lagi.

Huminodun merujuk kepada anak perempuan Dewa Kinoingan serta isterinya, Suminundu yang telah mengorbankan dirinya kepada roh bumi sebagai balasan untuk hasil tanaman yang melimpah ruah.

Mengikut legenda, ia berlaku apabila kaum Kadazandusun ketika itu mengalami bencana kebuluran kerana tiada sumber makanan.

Jo-Anna menyandang gelaran Unduk Ngadau atau ratu cantik Pesta Kaamatan pada 2007.

Mengulas lanjut, anak sulung daripada tiga beradik itu juga berkata, beliau tidak mahu rakyat menilai seseorang itu hanya kerana paras rupa. 

.

Sebaliknya, Jo-Anna berkata apa yang penting ialah keupayaan individu untuk memimpin dan menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

“Paras rupa itu bagi saya bukan satu ukuran, kerana apa yang paling penting adalah sama ada anda boleh buat kerja atau tidak.

“Itu kita tidak boleh kata apa-apa tentangnya (paras rupa). Itu adalah pemberian daripada Tuhan. Tuhan sudah cipta saya begini, apa saya mahu buat…

“Tetapi apa yang paling penting adalah keperluan untuk kepimpinan dan pembaharuan kepimpinan terutama di Sabah,” katanya.

Manifesto ‘Tuaran Bersih’

Membawa manifesto ‘Tuaran Bersih’, Jo-Anna berkata antara agendanya adalah memastikan kawasan Parlimen berkenaan bersih serta dimajukan termasuk sektor pelancongan yang berpotensi besar.

Selain itu, pemerkasaan golongan belia dengan menyediakan peluang pekerjaan dan mengembangkan ekonomi di kawasan berkenaan.

“Kita juga mendengar bahawa anak-anak muda di Tuaran ini mahu satu pentadbiran yang bersih.

“Jadi dengan itu, apa yang saya katakan bersih di sini adalah pentadbiran yang telus terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita mahu tahu di mana wang itu disalurkan dan biarlah ia menepati kehendak dan keperluan rakyat,” katanya yang fasih berbahasa Dusun, Melayu serta Inggeris.

Dalam pada itu, Jo-Anna berkata berlaku peningkatan positif dalam kalangan pengundi muda yang lebih memahami mengenai erti pilihan raya, sebagai platform untuk menentukan masa depan mereka. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Jo-Anna akan berdepan musuh lama iaitu Joniston, yang menewaskan beliau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu pada PRU14.

Beliau juga berhadapan dengan Madius yang merupakan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Turut memberi saingan ialah calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muminin Kalingkong @ Norbinsha serta calon Bebas, Bobby Lewat dan Datuk Noortaip Suhaili.