PRU15: MPN gesa percepat bentuk kerajaan, ketepi kepentingan peribadi

Astro Awani
November 20, 2022 15:55 MYT
MPN berharap proses membentuk sebuah kerajaan campuran atau gabungan yang stabil susulan PRU15 dapat dicapai segera berlandaskan perlembagaan dan lunas undang-undang negara. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Profesor Negara (MPN) berharap proses membentuk sebuah kerajaan campuran atau gabungan yang stabil susulan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dapat dicapai segera berlandaskan perlembagaan dan lunas undang-undang negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, MPN menggesa para pemimpin parti politik yang menang agar segera berunding berpandukan matlamat untuk membentuk sebuah kerajaan baharu yang stabil dan kukuh bagi menerajui negara untuk tempoh lima tahun yang akan datang.
"MPN menyeru semua pihak meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi lain-lain kepentingan yang sempit dan bersifat peribadi. Lebih cepat kerajaan gabungan ini dapat dibentuk ianya lebih baik bagi negara.
"Kita amat menyedari bahawa negara masih berada pada fasa pemulihan di samping berdepan dengan pelbagai cabaran besar terutamanya iklim ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu," kata MPN.
Tambah MPN, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, cekap dan berkesan bagi memastikan negara berupaya mengurus dan menangani segala cabaran yang mendatang.
"Nasib dan masa depan rakyat dan negara tidak seharusnya diperjudikan dan menjadi taruhan.
"Malaysia harus mengelakkan diri dari terjerumus dalam krisis politik yang berlarutan," kata kenyataan itu lagi.
#Majlis Profesor Negara #MPN #PRU15 #kerajaan