KUALA LUMPUR: Kebajikan rakyat menjadi keutamaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam mendepani kemungkinan berlaku banjir berikutan peralihan monsun timur laut di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Rina Harun berkata kesiapsiagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini pada tahap 95 peratus termasuk persediaan pusat pemindahan sementara (PPS) dan barangan keperluan termasuk makanan.

"Bukan kita nak menidakkan demokrasi, tapi ikut ramalan cuaca (Jabatan Meteorologi Malaysia) ada kemungkinan banjir, jadi kebajikan rakyat dan mangsa menjadi keutamaan kita. Ada di antara PPS juga digunakan tempat mengundi, jika berlaku banjir (ketika PRU15), mana lebih utama jadi PPS atau pusat mengundi?

"Biasanya kalau banjir, mangsa tak sempat selamatkan barang penting termasuk IC (kad pengenalan), IC pun tiada, macam mana nak undi?," katanya pada sidang media selepas Forum Kepimpinan Wanita Dalam Politik: Memacu Realiti Peningkatan Perwakikan Wanita Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Badan Legislatif.

Beliau berkata demikian setelah ditanya mengenai hasrat UMNO yang mahu PRU15 diadakan tahun ini juga meskipun peralihan monsun timur laut diramal melanda bermula awal bulan ini hingga bulan depan.



RINA-KEBAJIKAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Rina berkata beliau menyuarakan pendirian tersebut ketika mesyuarat jemaah menteri yang membincangkan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Setakat ini, katanya 6,010 PPS telah dikenal pasti dan jumlahnya mungkin mencecah 10,000 tempat di seluruh negara bagi memastikan keselesaan mangsa banjir.

Sementara itu, Rina berkata kementerian menyokong satu Jawatankuasa Pemantauan Masyarakat Sivil PRU15 diwujudkan di bawah Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) bagi memastikan sasaran 30 peratus wanita sebagai calon PRU dan legislatif tercapai.

"Kita tidak mahu lagi ia sekadar retorik semata-mata kerana setakat ini penyertaan wanita sebagai pembuat dasar di negara ini hanya 14 peratus jauh daripada sasaran kita sejak 2004," katanya.

Katanya Forum Ekonomi Sedunia (WEF) menyatakan Malaysia menduduki tangga ke-103 daripada 146 negara dalam Indeks Jurang Gender Global 2022 dengan skor 0.681 dan berada di tangga kelapan daripada 10 negara ASEAN," katanya.

Beliau berharap pilihanraya akan datang boleh menjadi medan untuk meletakkan lebih ramai wanita sebagai calon.

-- BERNAMA