KLANG: Perikatan Nasional (PN) dijangka menamakan doktor perubatan, Dr Jaya Chandran Perumal sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Klang.

Bagaimanapun, pengumuman rasmi akan dibuat pucuk pimpinan parti tidak lama lagi.

Menurut Timbalan Ketua Badan Perhubungan PN Klang, Khalid Nayan, Dr. Jaya Chandran adalah antara dua nama yang disenarai pendek PN sebelum ini.

“Kami sudah bawa nama Dr Jaya ke peringkat negeri. Kita senarai pendek dua orang sebelum ini. Namun, Dr. Jaya calon yang dipilih,” katanya kepada media selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Klang di sini pada Ahad.

Tambahnya, pengumuman rasmi calon PN seluruh negara dijangka dibuat dalam masa terdekat.


Kerusi Parlimen Klang disandang wakil rakyat DAP, Charles Santiago selama tiga penggal, namun nama beliau digugurkan sebagai calon DAP di pada PRU15.

Justeru, Dr Jaya Chandran dijangka melawan calon baharu yang diletakkan DAP di kerusi itu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau. 

Sementara itu, Dr Jaya Chandran berkata, beliau mahu menyelesaikan isu banjir dan kesihatan rakyat sekiranya diberi mandat oleh pengundi kawasan itu.

Dalam masa sama, beliau yang pernah berkhidmat di Jabatan Kecemasan di sebuah hospital kerajaan di Klang, akan menubuhkan klinik untuk rakyat bagi mengurangkan beban ekonomi penduduk.

“Saya akan sediakan ujian denggi percuma, rawatan percuma untuk B40 dan warga emas serta kanak-kanak,” katanya.