KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Rang Undang-Undang (Pindaan) Perlembagaan 2019, yang menurunkan usia kelayakan mengundi dari 21 ke 18 tahun, sepatutnya mempunyai objektif untuk memperkasa hak jutaan belia di negara ini.

Namun Felo Pelawat ISEAS-Yusof Ishak Institute, James Chai berpendapat, akta tersebut hanya menambahkan lagi kelemahan sistem pilihan raya sedia ada, seperti lebihan pengundi di kawasan bandar.

Malah, tegasnya lagi, keadaan tersebut menjadi lebih buruk, mengakibatkan pengundi muda mempunyai kuasa undi yang berbeza, bergantung kepada kawasan geografi, atau tempat tinggal mereka.

“Untuk menilai undi belia mana yang paling berbangkit, saya telah membahagikan jumlah pengundi muda antara 18 hingga 29 tahun mengikut kawasan daftar pemilih mereka, dengan undi kemenangan majoriti di kawasan tersebut, berdasarkan data pilihan raya umum yang lepas.

“Daripada dua set data ini, saya kemudian membuat penilaian ke atas peratusan undi individu antara 18 hingga 29 tahun yang diperlukan untuk menukar undi kemenangan majoriti tersebut.

“Lebih rendah peratusan 18-29 tahun diperlukan untuk terbalikkan undi kemenangan majoriti itu, maka undi belia adalah lebih berkuasa di kerusi tersebut,” katanya dalam artikel Fulcrum yang bertajuk - Malaysia’s GE15: Not All Youth Votes Are Equal – terbitan ISEAS – Yusof Ishak Institute.

Chai berkata, jika pengundi muda tersebut datang dari kawasan majoriti kaum Cina, terletak di bandar, dan ekonomi yang lebih makmur seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, atau Selangor, berkemungkinan besar undinya tidak akan membuat perubahan besar.

Namun situasi itu berbeza sama sekali jika pengundi muda tersebut datang dari kawasan majoriti kaum Melayu, separa bandar atau luar bandar, serta mempunyai tahap ekonomi dan kemudahan asas yang rendah.

 Felo Pelawat ISEAS-Yusof Ishak Institute, James Chai berpendapat, akta tersebut hanya menguatkan lagi kelemahan sistem pilihan raya sedia ada, seperti lebihan pengundi di kawasan bandar.

Menurut carta yang dilampirkan di atas, Chai berkata, biarpun kerusi tersebut terletak di serata negara, namun Sabah jelas menunjukkan jumlah yang besar terhadap kerusi yang dipengaruhi pengundi muda.

“Sebagai negeri termundur di negara ini, kerusi Parlimen seperti Keningau, Papar, dan Libaran mempunyai jumlah peratusan pengundi terbesar yang hidup di bawah paras kemiskinan mutlak. Perkhidmatan asas seperti bekalan air berpaip di rumah, hospital, klinik kesihatan, sekolah serta balai polis dan bomba, jelas kurang di kawasan ini.

“Selain tiga kerusi ini, Kuala Pilah dan Jerai juga mencatatkan tahap kemiskinan dan pengangguran melebihi kadar purata negara, sekali gus menjadikan kerusi dipengaruhi pengundi muda ini, juga antara kelompok paling terjejas akibat ekonomi di Malaysia,” katanya lagi.

 Felo Pelawat ISEAS-Yusof Ishak Institute, James Chai berpendapat, akta tersebut hanya menguatkan lagi kelemahan sistem pilihan raya sedia ada, seperti lebihan pengundi di kawasan bandar.

Berdasarkan lampiran di atas, Chai berkata, ia adalah sesuatu dalam jangkaan bahawa pengundi muda di kawasan bandar yang mempunyai pendapatan melebihi kadar purata negara, rendah kadar pengangguran dan kemiskinan, mempunyai keupayaan paling rendah untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya.

“Peratusan mengejutkan setinggi 220.4 peratus undi – atau 17,316 undi - diperlukan untuk menukar majoriti 38,171 undi di Jelutong, seperti mana yang tercatat ada PRU lepas.

“Ini bermaksud, walaupun kesemua individu antara 18-29 tahun di kerusi tersebut keluar mengundi bagi menukar kemenangan kepada parti atau pihak lawan, ia tidak akan mengubah keputusan di kerusi tersebut.

“Ini jelas menunjukkan ketidakberdayaan relatif pengundi muda di kawasan bandar,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun Chai berkata, satu perkara yang mungkin terjadi daripada fenomena tersebut ialah keadaan di mana ahli-ahli politik, melalui kiraan undi, kempen, serta liputan media, akan memberikan tumpuan lebih kepada kerusi sensitif pengundi muda tersebut, seperti separa bandar atau yang kurang mempunyai ekonomi daya saing.

Melalui keadaan tersebut, katanya lagi, hasil positif dari Undi 18 ialah, pengundi muda di kawasan paling terjejas akibat ekonomi, boleh menjadi suara demokrasi terbesar untuk menentukan jenis pemimpin serta isu yang mewarnai negara.

Chai berkata, situasi itu juga berpotensi untuk menambahbaik pembangunan dan pendapatan ekonomi, jika pengundi muda dalam kelompok ini melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka.

Bagaimanapun dia berkata, daripada dapatan tersebut, terdapat satu perkara yang agak membimbangkan tentang masa depan golongan belia di negara ini.

Majoriti kerusi yang paling dipengaruhi pengundi muda, bukan sahaja dalam kelompok miskin serta kurang pembangunan, berbanding kerusi yang kurang dipengaruhi pengundi muda, ia juga didominasi oleh satu kaum, iaitu Melayu.

“Tanpa memasukkan kerusi di Malaysia Barat, hampir kesemua kerusi di jadual satu adalah kawasan majoriti Melayu, manakala kerusi di jadual kedua adalah kawasan majoriti Cina, yang cenderung mengundi untuk gabungan parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan.

“Ini secara tidak langsung melebarkan lagi jurang pengundi berdasarkan kaum, serta kecenderungan politik, melebihi faktor umur.

“Ini bermaksud ahli-ahli politik bukan sahaja akan membahagikan tumpuan mereka terhadap profil ekonomi, tetapi juga menyebabkan mereka lebih cenderung kepada satu kaum sahaja, berbanding yang lain. Ini akan mengakibatkan jurang perkauman yang lebih besar, satu masalah yang telah terjadi sekian lama di negara ini,” katanya lagi.

Chai berkata, dunia digital yang dipengaruhi algoritma tertentu masa kini, sudah sedia ada mempengaruhi pengundi muda untuk terus tinggal di kawasan mereka, sekali gus melahirkan risiko mewujudkan kelompok individu ingin kekal dengan corak pemikiran, atau dengan orang yang mempunyai pandangan yang serupa.

Pandangan alternatif, atau pendirian yang berbeza oleh kelompok individu yang mempunyai latar belakang berbeza, katanya lagi, semakin sukar untuk diakses.

“Sejarah Malaysia dalam melakukan persempadanan kerusi atau kawasan berdasarkan profil perkauman, dan kecenderungan ahli politik untuk ‘pecah dan perintah’, akan mengukuhkan lagi jurang ini, sekali gus menjarakkan lagi golongan belia antara satu sama lain,” jelasnya lagi.