IPOH: Tiga lelaki ditahan oleh petugas Pasukan Rondaan Provos Tentera Laut (PROTELA) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut kerana mengedar risalah satu parti politik di dalam Pangkalan TLDM.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dilaporkan bahawa penahanan itu dibuat ketika petugas PROTELA sedang menjalankan rondaan di kawasan tersebut.

"Pada 15 November satu laporan polis diterima daripada seorang petugas PROTELA TLDM Lumut.

"Semasa menjalankan rondaan, pasukan tersebut telah menahan tiga orang lelaki berusia antara 19 hingga 33 tahun di pekarangan Blok A8 RKTLDM kerana mengedarkan risalah sebuah parti politik di dalam Pangkalan TLDM.

"Ia kerana Pangkalan TLDM telah diwartakan sebagai kawasan dan tempat larangan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau turut menasihatkan semua parti yang bertanding supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan tempoh berkempen.

"Pelaksanaan kempen telah dikecualikan di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan, seperti mana yang dinyatakan di dalam Akta 298, Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

"Mana-mana individu yang gagal mematuhi perkara ini, boleh dikenakan penjara atau denda seperti mana yang dinyatakan di dalam Seksyen 7 akta yang sama," katanya lagi.

Dalam pada itu katanya, polis turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua parti yang bertanding kerana telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh berkempen berlangsung.