[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

PSP gempur perlombongan emas haram di Gua Musang, tiga warga asing ditahan

Bernama 09/09/2025 | 03:50 MYT
Tiga lelaki warga asing disyaki menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram di kawasan ladang sawit di Sungai Seting, Gua Musang, ditahan dalam satu operasi bersepadu yang bermula seawal 5.30 pagi semalam. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Tiga lelaki warga asing disyaki menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram di kawasan ladang sawit di Sungai Seting, Gua Musang, ditahan dalam satu operasi bersepadu yang bermula seawal 5.30 pagi semalam.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), SAC Rosli Md Yusof berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30-an itu terdiri daripada dua warga Myanmar dan seorang warga Indonesia.

Beliau berkata, operasi hasil risikan PSP Bukit Aman bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kota Bharu itu berjaya menumpaskan kegiatan melombong emas tanpa permit, selain suspek didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

"Turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah jentera pengorek hidraulik bernilai hampir RM450,000 serta beberapa mesin dan peralatan perlombongan dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM510,021.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 manakala semua suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Barang rampasan pula disita oleh PTG Kelantan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosli berkata, operasi itu hasil pelaksanaan Reformasi Karenah Birokrasi yang menekankan pendekatan lebih bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi.

"Operasi sebegini membuktikan komitmen PDRM bersama agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras kegiatan perlombongan haram yang merugikan negara. Kita akan terus mempergiatkan operasi bersepadu dari semasa ke semasa agar sumber khazanah negara sentiasa terpelihara," katanya.

Beliau menegaskan, tindakan bersepadu itu bukan sahaja memberi impak dari sudut penguatkuasaan, malah menjadi mesej jelas bahawa sebarang cubaan menceroboh atau mengeksploitasi hasil bumi tanpa kebenaran undang-undang akan diambil tindakan tegas.

-- BERNAMA



#lombong emas haram #Pasukan Simpanan Persekutuan #Sungai Seting #lombong emas tanpa permit