MELAKA: Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) akan menganjurkan Anugerah Hijau Melaka (AHM) 2024 pada 27 Sept depan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Hafizam Mustaffa.

Beliau berkata AHM yang dianjurkan dua tahun sekali sejak 2015 itu terbuka kepada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), hotel, syarikat multinasional, industri kecil dan sederhana, institut pengajian tinggi, Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata empat kategori dipertandingkan pada edisi ketujuh itu, yang membabitkan Pembudayaan Hijau, Projek Hijau, Inovasi Hijau serta Komuniti Hijau, dan pemenang akan menerima Anugerah Emas, Perak dan Gangsa bagi setiap kategori selain Anugerah Cemerlang dan Anugerah Most Valuable Partner.

Penyertaan telahpun dibuka, dan tarikh tutup ialah pada 10 Jun depan dengan yuran penyertaan RM650 bagi setiap kategori dipertandingkan.

"Setakat ini kita menerima 20 penyertaan daripada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan serta syarikat swasta dan lebih 40 penyertaan disasar sehingga tarikh tutup nanti," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Mohd Hafizam berkata pemenang akan menerima sijil, trofi dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM30,000 dan panel penilai telah dilantik untuk melaksanakan audit serta penilaian ke atas penyertaan AHM 2024 sepanjang Julai nanti.

Beliau berkata AHM dianjurkan dengan tujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada agensi kerajaan dan swasta serta komuniti yang melaksanakan amalan teknologi hijau yang lestari bagi melindungi alam sekitar.

Selain itu ia merupakan platform bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar serta mempromosi amalan teknologi hijau kepada rakyat di semua peringkat usia.

Mohd Hafizam berkata syarikat swasta dan badan korporat dialu-alukan untuk menaja penganjuran AHM 2024 dan penaja berpeluang mendapat pelepasan cukai atas sumbangan yang diberikan.

-- BERNAMA