[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
MALAYSIA

PTKL 2040: Anwar tekankan perancangan bandar raya berteraskan rakyat

Yasmin Natasha 24/06/2025 | 03:52 MYT
Perdana Menteri Anwar berucap pada majlis pelancaran Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040, di Kuala Lumpur, pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menekankan pentingnya merancang kawasan perumahan yang lengkap dengan kemudahan asas termasuk sekolah, padang permainan dan pengangkutan awam yang mudah diakses.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan memastikan projek perumahan baharu, termasuk rumah mampu milik, dilengkapi dengan infrastruktur pendidikan dan sosial yang komprehensif, bagi mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup penduduk bandar.
"Apa maknanya rumah murah kalau anak nak ke sekolah kena naik bas sewa RM280 sebulan? Kita mahu sekolah dekat dengan rumah, ada padang, ada tempat selamat. Kita kena fikir luar kotak dan pastikan perancangan bandar memudahkan rakyat,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040, di sini, pada Selasa.
Dalam masa sama, beliau menyentuh kepentingan pengangkutan awam sebagai tulang belakang pembangunan bandar raya kepada pembangunan berorientasikan pengangkutan awam dan penyediaan kemudahan mesra pengguna.
Sehubungan itu, Anwar menekankan keperluan peralihan kepada tenaga bersih dan lestari dengan memastikan rumah dan bangunan baharu dibina berasaskan prinsip kelestarian tenaga dan reka bentuk hijau.
Pelan berkenaan, jelas beliau, menjalani rombakan besar-besaran bagi memastikan ia lebih terangkum, sejajar kemajuan teknologi digital dan memenuhi konsep manusiawi seperti yang digariskan di bawah konsep Malaysia MADANI.
Anwar berkata, PTKL 2040 yang tertangguh akibat pandemik COVID-19 sebelum ini, mengambil kira kepentingan untuk membangunkan perumahan dan kemudahan rakyat di bandar raya ini, terutama majoriti penduduk golongan B40 dan M40.
"Selalunya pembangunan bandar itu meletakkan pembangunan rakyat hanya satu kelompok, terasing dan semua kemudahan tertumpu kepada kelompok lebih selesa. Tiada salahnya pendekatan itu, tapi ia harus lebih terangkum, barulah ada makna manusiawi mengikut falsafah MADANI.
"Ini harus dimengerti dan saya percaya selepas peluncuran PTKL 2040 ini, bukan saja pegawai dan pimpinan politik, tapi korporat serta pengusaha utama dalam membangunkan (Kuala Lumpur) harus mengambil kira (pendekatan ini)," ujar Perdana Menteri lagi.
#Anwar Ibrahim #PTKL2040 #Kuala Lumpur #Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040