MALAYSIA
PTKL 2040 pastikan keseimbangan pembangunan hartanah, elak komuniti terpinggir
Dr Maimunah ketika diwawancara dalam program temu bual eksklusif bertajuk Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) memberi penekanan jelas terhadap keseimbangan antara pembangunan hartanah mewah dan penyediaan perumahan mampu milik, bagi memastikan tiada komuniti terpinggir daripada arus pembangunan ibu negara.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata pelan itu digariskan dengan prinsip 'Kuala Lumpur untuk Semua' yang menyasarkan pembangunan inklusif dan adil untuk setiap lapisan masyarakat.
"Perumahan MADANI dan rumah mampu milik bukan sekadar slogan, tetapi dimasukkan terus dalam garis panduan PTKL2040.
"Pemaju yang mempunyai tanah lebih lima ekar (lebih dua hektar) diwajibkan menyediakan perumahan mampu milik yang benar-benar boleh dimiliki, bukan sekadar rumah mampu tengok," katanya semasa menjadi tetamu program Temu Bual Eksklusif terbitan Bernama Radio hari ini.
Selain itu, beliau berkata pelan itu juga mewajibkan penyediaan kawasan lapang sekurang-kurangnya 30 peratus bagi setiap pembangunan perumahan berskala besar sebagai langkah memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk bandar.
"Kita ada peta cadangan sangat terperinci, menunjukkan lokasi perumahan, komersial, industri, kawasan hijau dan sebagainya. Ini penting supaya pembangunan tidak berlaku secara tidak seimbang dan merugikan komuniti sedia ada," katanya.
Maimunah berkata PTKL 2040 bukan sekadar pelan fizikal, tetapi menjadi kerangka rujukan kepada semua pihak termasuk pelabur, agensi kerajaan, pemaju dan masyarakat dalam membentuk Kuala Lumpur sebagai kota lebih tersusun, mampan dan inklusif.
"PTKL 2040 melibatkan pendekatan menyeluruh merangkumi aspek fizikal, sosial, ekonomi dan alam sekitar dengan visi menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya terancang, berdaya tahan dan disayangi rakyatnya," katanya.
Beliau berkata PTKL 2040 yang berkuat kuasa 11 Jun, merupakan dokumen perancangan menyeluruh dan bakal menjadi panduan utama dalam merancang, membangun serta mengawal pembangunan ibu negara sehingga 2040.
Pelan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Jun itu dibangunkan di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982, dengan pendekatan selari aspirasi Malaysia MADANI dan prinsip pembangunan berteraskan rakyat.
-- BERNAMA