PTPTN: 28 peratus peminjam masih teruskan pembayaran semula

Hilmi Malik
November 20, 2020 08:30 MYT
Terdapat 28 peratus peminjam yang masih meneruskan pembayaran balik meskipun diberikan pengecualian bayaran balik ketika pandemik COVID-19 menurut PTPTN.
KUALA LUMPUR: Meskipun diberikan penangguhan bayaran balik bagi bagi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun sebanyak 28 peratus peminjam dilaporkan masih menerususkan komitmen mereka.
Menurut perbadanan tersebut, sehingga Oktober lepas, sebanyak 422,500 peminjam masih meneruskan proses bayaran balik kepada PTPTN dengan jumlah kutipan sebanyak RM103.03 juta bagi bulan tersebut.
Perkara ini juga menunjukkan peningkatan hampir 174 peratus jika dibandingkan pada April tahun ini dengan jumlah kutipan sebanyak RM37.65 juta.
“Ini menunjukkan peminjam masih berusaha untuk membayar balik pinjaman walaupun berdepan situasi sukar akibat COVID-19.
“Tindakan itu wajar dijadikan contoh kepada peminjam lain yang masih mampu dan tidak terkesan untuk membuat proses bayaran balik,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengecualian bayaran balik bagi tabung pembiayaan pendidikan itu bagi tempoh enam bulan bermula Mac sebelum dilanjutkan sehingga Disember tahun ini.
Sehingga kini, sebanyak 1.5 juta peminjam menerima manfaat daripada pengecualian bayaran balik tersebut dengan secara keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM1.13 bilion.
#PTPTN #pendidikan #Perdana Menteri #COVID-19 #Peminjam