KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjangkakan pemberian dividen Skim Simpanan SSPN (Simpan SSPN) bagi 2023 akan meningkat berbanding 2022.

Pengerusinya  Datuk Norliza Abdul Rahim berkata jangkaan itu berdasarkan kepada peningkatan pelaburan dan trend prestasi deposit Simpan SSPN yang membanggakan setiap tahun.

“Simpan SSPN sentiasa menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat lain kepada pendeposit seperti dividen yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, beliau juga menyeru orang ramai untuk segera membuat simpanan di Simpan SSPN  sebelum 31 Dis ini  bagi membolehkan mereka mendapatkan pelepasan taksiran cukai pendapatan terhadap simpanan hingga RM8,000 bagi tahun taksiran 2023 serta pelbagai manfaat lain.

Beliau berkata ia merupakan insentif istimewa  kepada pendeposit Simpan SSPN berbanding produk simpanan lain yang ada di pasaran dan mereka disarankan membuat pembukaan akaun atau penambahan simpanan melalui aplikasi myPTPTN bagi urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

“Pendeposit juga boleh melayari portal rasmi PTPTN menerusi www.ptptn.gov.my untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai keistimewaan dan manfaat produk Simpan SSPN,” katanya.

Norliza berkata antara keistimewaan Simpan SSPN termasuk perlindungan takaful percuma secara Ringgit ke Ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada mereka.

Beliau berkata walaupun menyedari nilai manfaat itu tidak dapat menggantikan kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang ibu atau bapa, simpanan di dalam Simpan SSPN dan nilai manfaat yang diterima berkenaan dapat menampung kos pendidikan anak-anak yang ditinggalkan.

“Simpan SSPN Prime juga menawarkan Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak iaitu ibu bapa yang mempunyai pendapatan bulanan tidak melebihi RM4,000,” katanya.

Geran Sepadan merupakan insentif kewangan yang ditawarkan bagi penerima manfaat iaitu anak-anak yang diterima dan mendaftar masuk ke mana-mana Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang diiktiraf oleh kerajaan.

Selain itu, katanya sebagai tanda penghargaan dan menggalakkan lagi amalan menabung, PTPTN turut mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan dengan jumlah keseluruhan bernilai hampir RM500,000 menanti 138 pemenang.

Tempoh promosi kempen bermula pada 1 Jan 2023 dan akan berakhir pada 31 Dis 2023, katanya.