MALAYSIA

PTPTN lancar Bulan Menabung Simpan SSPN 2025

Malekah Aisyah 28/09/2025 | 12:17 MYT
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Anesee Ibrahim (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025. - Foto PTPTN
SHAH ALAM: Menabung hari ini, untuk jaminan masa depan anak-anak.

Itu misi utama Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sempena sambutan Hari Tabungan Sedunia yang diraikan pada 31 Oktober setiap tahun.

Majlis pelancaran peringkat nasional berlangsung di Central i-City Mall, Shah Alam, disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Anesee Ibrahim.

Menurut beliau, BMS merupakan platform membina tabiat kewangan berhemat sekali gus bertujuan memperkenalkan Simpan SSPN sebagai pilihan simpanan terbaik.

“Penabungan untuk pendidikan tinggi merupakan satu pelaburan jangka panjang yang penting dalam usaha membina masa depan anak-anak.

“Dalam menghadapi kos pendidikan yang semakin meningkat, menabung dari awal ialah satu persediaan bijak dan bertanggungjawab,” katanya ketika melancarkan majlis, di sini.

Edisi kali ini mengetengahkan tema Pengembaraan dengan slogan ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’, menggambarkan bahawa pendidikan dan kehidupan anak-anak adalah satu perjalanan penuh cabaran serta penemuan baharu.

Simpanan merupakan simbol kasih sayang, tanggungjawab dan harapan agar anak-anak dapat melangkah lebih jauh, lebih berani dan lebih yakin dalam mengejar impian pendidikan mereka.

BMS 2025 berlangsung dari 26 September hingga 2 November 2025, merupakan penganjuran kali kelapan sejak 2018. Pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya Pertandingan Mewarna, Pertandingan Action Song, PTPTN Esport Challenge dan Baby Merangkak Race.

Juara Pertandingan Action Song Simpan SSPN 2025 Peringkat Kebangsaan menerima replika kad berjumlah RM3,750 daripada Datuk Anesee Ibrahim (lima dari kanan). - Foto PTPTN


Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Hwa, Bukit Pasir, Batu Pahat, Johor diumumkan juara Pertandingan Action Song peringkat kebangsaan.

Guru mereka, Tay Sock Kar, menyifatkan pertandingan itu sebagai pendedahan awal yang bermanfaat.

“Melalui latihan mereka pun lebih tahu apakah kebaikan menabung sejak kecil, selain itu, mereka akan ada habit yang bagus dan mereka pun tahu macam mana nak buat bajet untuk perbelanjaan,” jelasnya.

Beberapa pengunjung turut berkongsi pengalaman mereka sebagai pendeposit Simpan SSPN.

“Bagi saya dengan menyimpan dekat Simpan SSPN, saya boleh dapat pelepasan taksiran cukai pendapatan tiap-tiap tahun dan ada dividen yang kompetitif serta stabil lah bagi saya,” jelas Tan Wang.
“Yang pertama Simpan SSPN sangat berkesan.

“Saya sebagai seorang pensyarah nampak pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan.

“Kemudian simpanan dijamin oleh kerajaan berbanding simpanan-simpanan pendidikan yang lain,” ujar Mohd Saifullah Rusli.

Sehingga 31 Ogos 2025, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima sebanyak RM22.31 bilion dengan lebih 7.09 juta akaun dibuka. Tahun ini, PTPTN menetapkan sasaran jumlah terimaan deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta sepanjang BMS berlangsung.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, dividen kompetitif, patuh syariah serta dijamin kerajaan.

Kempen promosi turut dipergiat, termasuk Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025.

 Datuk Anesee Ibrahim bergambar bersama barisan Pengurusan Kanan PTPTN, rakan strategik dan pengunjung yang turut memeriahkan Program Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025. - Foto PTPTN


Sebagai agensi di bawah KPT, PTPTN menegaskan komitmen untuk meningkatkan kesedaran menabung dalam kalangan masyarakat, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

“Sehingga kini, prestasi Simpan SSPN membuktikan ia terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik dan sokongan pendeposit kekal utuh,” tambah Datuk Anesee.

Untuk maklumat lanjut berkenaan BMS 2025, layari www.ptptn.gov.my/BMS2025.



#SSPN #PTPTN #Simpan SSPN #Bulan Menabung Simpan SSPN #simpanan pendidikan