MALAYSIA
PTPTN peruntuk RM47.8 juta wang pendahuluan bagi sesi Julai 2025

Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) PTPTN berkata ia terus komited membantu pelajar untuk melanjutkan pengajian.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM47.8 juta kepada 31,850 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat diploma di Universiti Awam (UA) dan Politeknik bagi kemasukan sesi Julai 2025.
PTPTN menerusi kenyataan memaklumkan setiap pelajar yang layak, ditawarkan WPP berjumlah RM1,500 untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal memasuki UA dan Politeknik, sekali gus menjaga kebajikan para pelajar.
WPP diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP, semasa membuat permohonan kemasukan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan UA.
"Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan," menurut kenyataan itu.Kenyataan itu memaklumkan sebanyak 990,638 pelajar telah menerima manfaat WPP dengan peruntukan berjumlah RM1.46 bilion, sejak ia diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Mei lepas.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) PTPTN berkata ia terus komited membantu pelajar untuk melanjutkan pengajian.
Menurut PTPTN pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara, bermula hari ini hingga 1 Sept dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).
Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa delegasi PTPTN diketuai Pengerusinya Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, telah menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah di kawasan Bukit Gelugor, Pulau Pinang hari ini dan turut menyampaikan surat tawaran kepada yang layak.
"PTPTN sentiasa komited memastikan akses pendidikan tinggi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
"Di Pulau Pinang seramai 1,419 orang pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.13 juta. WPP PTPTN yang diterima oleh para pelajar ini haruslah digunakan dengan sebaik mungkin," kata Norliza.
Para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN, mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan Politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.
Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami