NATIONAL
PTPTN umum dividen Simpan SSPN 4.05%, tertinggi dalam tempoh 10 tahun
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir bersama Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (kiri) dan dif kehormat bergambar dengan plakad dividen Simpan SSPN 2024 dan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025.
PUTRAJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan dividen sebanyak 4.05 peratus bagi Skim Simpan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2024, kadar tertinggi yang direkodkan dalam tempoh sedekad.
Ringkasan AI
- PTPTN mengumumkan dividen sebanyak 4.05 peratus bagi Simpan SSPN untuk tahun 2024, kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
- Dividen ini akan memberi manfaat kepada 6.77 juta akaun pendeposit dengan jumlah keseluruhan agihan mencecah RM439.87 juta.
- PTPTN melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025, menawarkan tambahan ganjaran 1 peratus kepada pendeposit yang membuat simpanan minimum RM1,000 antara 1 Mei hingga 31 Julai 2025.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata pencapaian itu menunjukkan prestasi cemerlang pengurusan dana simpanan PTPTN, dan diyakini akan menggalakkan lebih ramai masyarakat Malaysia menyimpan demi masa depan pendidikan anak-anak.
“Ini merupakan satu lonjakan yang baik dan kita mendoakan usaha berterusan yang dilakukan, termasuk pertambahan jumlah akaun tahun ini, akan terus diperkukuh.
“Dengan prestasi ini, mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan tambahan kelulusan pada masa akan datang,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2024 yang berlangsung di Lobi Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Agihan dividen 4.05 peratus ini bakal memberi manfaat kepada 6.77 juta akaun pendeposit dengan jumlah keseluruhan agihan mencecah RM439.87 juta.
Tambahnya, kadar ini meningkat berbanding 3.60 peratus pada tahun 2023, hasil strategi pelaburan patuh syariah yang berkesan serta pengurusan risiko yang strategik.
Ia juga melepasi kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa yang kekal pada 3.0 peratus.
Tahun lalu, PTPTN turut merekodkan pencapaian memberangsangkan apabila jumlah deposit Simpan SSPN mencecah RM3.17 bilion, meningkat sebanyak RM24.37 juta berbanding tahun sebelumnya.
Lebih 500,000 akaun baharu juga dibuka, menjadikan nilai deposit terkumpul sehingga hujung tahun lalu melebihi RM20.56 bilion.
Dalam majlis sama, PTPTN turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 yang menawarkan tambahan ganjaran 1 peratus kepada pendeposit yang membuat simpanan minimum RM1,000 antara 1 Mei hingga 31 Julai 2025.
Ganjaran tersebut khas untuk akaun Simpan SSPN Prime yang dibuka dari tahun 2004 hingga 31 Disember 2021, sebagai insentif kepada penyimpan setia jangka panjang.
Selain dividen tahunan, Simpan SSPN turut menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000, patuh syariah serta simpanan dijamin oleh kerajaan.
Sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004, jumlah keseluruhan dividen yang diagihkan kini berjumlah RM2.12 bilion.
Pendeposit boleh membuat semakan penyata akaun simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai 2 Mei ini.