PTU Asghar Khan garis 6 teras utama TUDM depani cabaran masa depan

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 23, 2022 03:00 MYT
Mohd Asghar menegaskan semua warga TUDM perlu memberi perhatian kepada empat faktor yang akan menentukan kejayaan setiap teras yang telah digariskan. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Udara yang baharu dilantik Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan menggariskan enam teras utama dalam TUDM dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Jelasnya dalam sidang media pagi Rabu, enam teras ini mencangkupi beberapa elemen dalam memastikan TUDM terus menyambung legasi kegemilangannya.
"Enam teras tersebut adalah pemantapan keupayaan dan kesiagaan TUDM, keunggulan struktur dan kecemerlangan organisasi, pemerkasaan dan pengupayaan warga udara, mengoptimumkan pengurusan sumber, dan meningkatkan budaya inovasi.
"Peningkatan keupayaan TUDM melalui kolaborasi bersama industri pertahanan tempatan dan kebajikan sosial kelestarian warga," kata Mohd Asghar.
Mohd Asghar dilantik sebagai Panglima TUDM yang ke-20 berkuat kuasa 7 Mac lalu.
Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang bersara wajib September ini.
Mohd Asghar, dalam masa sama, menegaskan semua warga TUDM perlu memberi perhatian kepada empat faktor yang akan menentukan kejayaan setiap teras yang telah digariskan.
Ia termasuk faktor modal insan berkualiti, penjanaan keupayaan aset-aset udara, pengurusan sumber kewangan yang berkesan, dan kualiti kepimpinan organisasi.
#TUDM #Mohd Asghar Khan Goriman Khan #enam teras utama TUDM #legasi kegemilangan