Skip to main content

Malaysia

PTVM cadang sistem kebajikan, persaraan anak seni negara

KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli (kanan) pada sidang media ASEAN Film dan TV Summit (AFTS) 2025 di FINAS Hulu Kelang hari ini.  AFTS 2025 akan berlangsung bermula 28 hingga 30 Oktober ini.  -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jurey berkata, cadangan itu terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui Setiausaha Sulit Kanan beliau bersempena perasmian Menara FINAS semalam. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mencadangkan penubuhan Sistem Kebajikan dan Persaraan Anak Seni Negara bagi menyediakan perlindungan lebih tersusun, mampan dan menyeluruh kepada penggiat industri kreatif.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, cadangan itu terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Setiausaha Sulit Kanan beliau bersempena perasmian Menara FINAS semalam.

Beliau berkata, sistem berkenaan perlu merangkumi mekanisme persaraan atau tabung masa hadapan, perlindungan kesihatan, perumahan, keselamatan sosial serta jaringan perlindungan apabila seseorang penggiat seni tidak lagi mampu bekerja.

“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga seseorang anak seni jatuh sakit, hilang pendapatan atau hidup dalam kesusahan sebelum bantuan digerakkan secara ad hoc.

“Kebajikan tidak boleh terus bergantung kepada simpati, sebaliknya perlu dibina melalui sebuah sistem,” katanya dalam kenyataan.

Jurey berkata, reformasi industri kreatif juga perlu mengambil kira kelangsungan perniagaan syarikat penerbitan, khususnya dalam industri televisyen yang berdepan peningkatan kos penerbitan, peluang semakin mencabar serta perubahan pesat model perniagaan.

Beliau berkata, tanpa syarikat penerbitan yang mampan, peluang pekerjaan untuk pelakon, pengarah, penulis, kru produksi dan ribuan tenaga kreatif turut terjejas.

“Pembaharuan tidak boleh hanya tertumpu kepada kandungan dan kebebasan berkarya, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan rantaian ekonomi daripada syarikat yang mencipta pekerjaan hingga kebajikan individu dalam industri,” katanya

PTVM turut menyambut baik penegasan Perdana Menteri mengenai keperluan memberikan ruang lebih terbuka kepada penggiat seni serta memastikan sokongan dan pembelaan diberikan kepada keseluruhan ekosistem industri.

Jurey berkata, kejayaan industri tidak seharusnya diukur berdasarkan kemegahan infrastruktur semata-mata, tetapi menerusi kemampuan menyediakan pekerjaan, pendapatan, perlindungan dan masa depan lebih terjamin kepada penggiatnya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement