GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

"Pukul 3 pagi air dah naik, saya hanya fikir keselamatan penduduk" - Ketua Kampung

Bernama 04/10/2025 | 08:40 MYT
Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (tiga, kiri) menyantuni mangsa banjir di Pusat Permindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Melayu Raya hari ini. - Bernama
PONTIAN: "Pukul 3 pagi saya dimaklumkan oleh penduduk kampung, air dah mula naik. Saya terus keluar lihat keadaan sekeliling, pastikan semua penduduk selamat," kata Ketua Kampung Kawasan 11 Mukim Pontian Md Karib Isnin, 56, ketika menceritakan semula detik awal kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kampung di daerah itu awal pagi tadi.

Beliau berkata hujan lebat yang bermula sekitar 1 pagi dan berlarutan hingga 3 pagi, menyebabkan paras air meningkat mendadak di kawasan rendah termasuk Kampung Paya Embun dan Kampung Melayu Raya.

"Hujan turun tanpa henti, memang lebat sangat... lebih dua jam lamanya. Bila saya keluar tengok, sekelip mata sahaja air dah naik sampai paras pinggang. Keadaan jadi lebih buruk apabila air dari Gunung Pulai turun deras ke kawasan kampung," katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya di sini, hari ini.

Md Karib, yang menetap di Kampung Paya Embun sejak lebih 50 tahun lepas berkata walaupun banjir kilat bukan perkara baharu di kawasan itu, penduduk tetap bimbang setiap kali hujan lebat melanda kawasan pergunungan berhampiran.

"Kalau hujan lebat di atas Gunung Pulai, memang kawasan ini akan banjir walaupun sini tak hujan. Air dari kawasan atas turun deras ke kampung," katanya.

Md Karib turut meluahkan rasa terkejut dengan kejadian kali ini yang berlaku terlalu cepat walaupun penduduk sudah membuat persiapan menghadapi musim hujan hujung tahun.

Sementara itu, seorang penduduk sekitar Kampung Melayu Raya Muhammad Raihan Shukor, 28, berkata beliau dan keluarganya tidak sempat berbuat banyak, ketika air naik mendadak kira-kira jam 3 pagi.

"Masa tu kami sekeluarga agak terkejut. Perkara yang paling saya risau ialah keselamatan datuk saya, berusia hampir 70 tahun, yang menghidap strok dan berjalan perlahan. Waktu tu saya cuma fikir nak bantu beliau dulu," katanya.

Menurut data di PPS SK Melayu Raya, setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 139 mangsa daripada 44 keluarga dari Kampung Paya Embun, Kampung Pak Kalib, Kampung Melayu Raya, Kampung Seri Menanti, Kampung Maju Jaya dan Kampung Sepakat Jaya, ditempatkan di PPS SK Melayu Raya.

Keprihatinan terhadap nasib penduduk turut dikongsi Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, yang berkata pihaknya akan membawa isu banjir kilat di daerah itu ke Parlimen bagi mencari penyelesaian jangka panjang.

"Saya akan bawa isu ini ke Parlimen nanti, untuk dibincangkan bagaimana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) boleh mengemukakan cadangan lebih sesuai bagi mengatasi masalah ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di PPS berkenaan, hari ini.

Beliau berkata antara langkah yang akan dipertimbangkan, termasuk kerja mendalamkan dasar sungai di kawasan terjejas bagi meningkatkan kelancaran aliran air terutama pada musim hujan.

Selain itu, Wee berkata pihaknya juga akan berusaha mendapatkan bantuan bagi meringankan beban penduduk yang terjejas akibat banjir.

-- BERNAMA

#banjir #hujan lebat #penduduk terjejas #p ontian #kampung paya embun #Kampung Melayu Raya