[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Pukul anjing hingga mati, lelaki ditahan polis

Bernama 29/09/2025 | 10:30 MYT
Suspek ditahan susulan penularan video berdurasi satu minit 31 saat yang dimuat naik di laman Instagram Malaysian Animal Organization.
IPOH: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memukul seekor anjing menggunakan batang besi sehingga mati di sebuah rumah di Taman Arkid, dekat sini, baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memukul seekor anjing dengan batang besi sehingga mati di Taman Arkid, Ipoh, susulan video kejadian tular di media sosial.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, dan suspek telah dilepaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.
  • Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan semula video berkaitan kes bagi mengelakkan kegusaran awam, serta menyeru agar maklumat penganiayaan haiwan disalurkan kepada pihak berkuasa.


Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata penahanan itu susulan tular video berdurasi satu minit 31 saat yang dimuat naik di laman Instagram Malaysian Animal Organization.

Abang Zainal Abidin berkata hasil semakan mendapati satu laporan polis mengenai kejadian itu telah dibuat pada 19 Sept lepas di Balai Polis Menglembu.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 berhubung tindakan suspek memukul anjing sehingga mati.

"Suspek telah ditangkap dan kini telah dilepaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menularkan semula sebarang video atau kenyataan berkaitan kes kerana boleh menimbulkan kegusaran awam.

"Sebarang maklumat mengenai salah laku atau penganiayaan terhadap haiwan boleh disalurkan kepada pihak polis atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut," katanya.

-- BERNAMA



#video tular #pukul anjing #Abang Zainal Abidin #Ipoh