Pukul pengawal peribadi berpuasa: Ahli perniagaan didakwa lagi

Bernama
April 23, 2021 09:11 MYT
Semalam di Mahkamah Majistret Klang, Chung (berbaju biru) dan pembantu peribadinya Choo (berbaju putih) mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan antaranya memukul dan mengugut mangsa sama menggunakan pistol. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang semalam dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya menggunakan pistol, sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas empat tuduhan memukul mangsa sama.
Chung Chee Yang, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa atas empat pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dan Ahmad Shamsuri Zailani, 27, di lobi dan lif sebuah kondominium di sini, antara 8.40 dan 8.43 malam pada 13 April lepas.
Bapa empat anak itu didakwa mengikut Sesyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Ashikin Mokhtar memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dengan alasan kes ini menyentuh beberapa isu sensitif berkaitan agama dan masyarakat secara keseluruhan.
“Kes ini antara majikan dan pekerja yang mana pekerja sepatutnya dilindungi dan dilayan secara berperikemanusiaan. Kedua-dua mangsa juga telah lama berkhidmat dengan tertuduh, antara tiga dan tujuh tahun,” katanya.
BACA: Pukul pengawal peribadi: Ahli perniagaan, pembantu mengaku tidak bersalah
Peguam Abdul Hakim Aiman yang mewakili Chung memohon jaminan rendah dengan mengambil kira tahap kesihatan anak guamnya dan jumlah tanggungan yang disara tertuduh.
"Anak guam saya menyara ibu bapa, isteri dan empat anaknya selain dia mempunyai penyakit kanser usus dan insomnia. Dia juga merupakan seorang ahli perniagaan yang banyak berjasa kepada masyarakat di Klang menerusi kerja amal di sekolah dan kuil," kata peguam itu.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 2 Jun depan untuk sebutan semula kes.
[TERKINI] Ahli perniagaan, pembantu peribadi mengaku tidak bersalah
Semalam di Mahkamah Majistret Klang, tertuduh dan pembantu peribadinya Choo Hin Voon, 43, mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan antaranya memukul dan mengugut mangsa sama menggunakan pistol.
Media sebelum ini melaporkan dua pengawal peribadi cedera selepas dirotan dan diugut bunuh menggunakan pistol oleh majikan dipercayai akibat perselisihan faham berkaitan puasa.
- BERNAMA
#pukul pengawal peribadi #bodyguard #berpuasa #majikan #mengaku tidak bersalah #rotan #mahkamah #sekali lagi #didakwa