IPOH: Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) perlu terus diperkasakan sebagai platform memelihara warisan seni dan budaya, sekali gus memperkukuh jati diri bangsa serta membina masyarakat yang saling memahami dalam kepelbagaian budaya.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata pembangunan sesebuah negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemajuan ekonomi dan keuntungan material semata-mata, sebaliknya turut bergantung pada kekuatan identiti, nilai kemanusiaan dan warisan budayanya.
Beliau berkata tanpa penghayatan terhadap budaya dan warisan, sesebuah masyarakat berisiko kehilangan jati diri meskipun mencapai kemajuan dari segi ekonomi dan teknologi.
“Sebuah negara terbentuk oleh bangsa dan masyarakat yang mendiami negara berkenaan. Jika negara tersebut tidak mempunyai identiti, ciri, budaya dan warisannya, ia akan dianggap sebagai negara yang tandus dari segi budaya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan PULARA 2026 di Dataran MADANI Seri Manjung, di Manjung hari ini.
Zambry berkata puisi dan lagu rakyat bukan sekadar bentuk hiburan, malah mencerminkan pemikiran, perasaan dan nilai kemanusiaan sesebuah masyarakat yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau turut mengingatkan generasi muda supaya tidak melupakan akar budaya sendiri dalam menghadapi perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi kehidupan masyarakat.
Selain itu, beliau juga berharap PULARA dapat diperluas ke luar Manjung, termasuk ke Kuala Lumpur dan pentas antarabangsa bagi memperkenalkan keunikan seni serta budaya Malaysia kepada masyarakat dunia.
Pada majlis hari ini, Zambry turut menyempurnakan pelantikan empat Ketua Kampung PULARA 2026, bertujuan menghidupkan tradisi kepimpinan masyarakat kampung sebagai lambang penyatuan, penjagaan adat dan kesinambungan warisan budaya.
Majlis turut menyaksikan peluncuran Program Bakti MADANI Mega Titian Budaya, yang merangkumi penyerahan anak angkat antarabangsa kepada keluarga angkat di Kampung Baru Lumut dan Kampung Telaga Nenas di daerah Manjung.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata lebih 20,000 pengunjung dijangka menghadiri PULARA 2026, selain penyertaan lebih 2,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta lebih 100 pelajar antarabangsa dari 25 negara.
Beliau berkata edisi ke-12 festival itu turut memperkenalkan pendekatan baharu dengan membawa pelbagai aktiviti seni, budaya dan kemasyarakatan ke kawasan kampung menerusi 20 program PULARA Masuk Kampung yang dikendalikan Majlis Kesukarelawanan Universiti Awam (MASKUM).
-- BERNAMA