JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh, jika benar ia mempunyai unsur kecuaian dan kekhilafan.

Dalam hantaran terbaru di laman Facebook rasmi, baginda bertitah mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang.

"Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita? Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?

“Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan. Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titahnya.


Pasukan Petugas | Signifikan menyemak semula kes Pulau Batu Puteh

BACA: Pasukan petugas khas diwujudkan, semak semula kes Pulau Batu Puteh - PM

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu kenyataan telah memaklumkan Kerajaan Negeri Johor memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas Kerajaan Persekutuan.

Jemaah Menteri pada Jumaat bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Menerusi kenyataan Perdana Menteri pada Sabtu, penubuhan itu bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Pada 2018, kerajaan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.