GEORGE TOWN: Pulau Pinang merekodkan peningkatan hampir 26 peratus pesakit warga asing yang mendapatkan rawatan di hospital swasta di negeri itu pada 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara hab utama pelancongan perubatan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Wong Hon Wai berkata berdasarkan data Pusat Pelancongan Perubatan Pulau Pinang (PMED) melibatkan 16 hospital swasta di negeri itu, jumlah pesakit warga asing meningkat kepada 527,176 orang pada 2025 berbanding 418,608 pada 2024.
"Peningkatan itu turut menyumbang kepada janaan pendapatan RM1.14 bilion pada tahun lepas berbanding RM898.07 juta pada 2024," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini, bagi menjawab pertanyaan Ong Ah Teong (PH-Batu Lancang) mengenai pencapaian Pulau Pinang dalam sektor pelancongan perubatan.
Bagi merancakkan sektor itu sempena Malaysia Year of Medical Tourism (MYMT) 2026, beliau berkata kerajaan negeri bekerjasama dengan syarikat penerbangan termasuk AirAsia menerusi program Boarding Pass Privileges.
Wong berkata menerusi program berkuat kuasa 1 Okt 2025 hingga 31 Dis 2026 itu, penumpang dari luar Malaysia yang memiliki pas masuk penerbangan dan pasport asing boleh menikmati diskaun 15 peratus bagi pakej pemeriksaan kesihatan.
Selain itu, beliau berkata pesakit asing juga ditawarkan pilihan membuat pembayaran dalam mata wang negara asal mereka seperti Rupiah Indonesia menerusi kod Quick Response Indonesian Standard (QRIS) sementara kerajaan negeri turut menyertai program promosi dan pameran pelancongan perubatan di beberapa negara termasuk China, Indonesia, Singapura, Taiwan serta Myanmar.
Beliau berkata usaha memperkukuh jaringan penerbangan ke bandar yang menjadi sumber utama pelancong perubatan seperti Medan, Acheh, Jakarta, Surabaya dan Yangon turut dipergiat bagi menyokong pertumbuhan sektor itu.
-- BERNAMA