NIBONG TEBAL: Pulau Pinang giat mempertingkatkan kapasiti tenaga solarnya menerusi pembinaan ladang solar, bekerjasama dengan sektor perindustrian bagi pemasangan panel solar di atas bumbung kilang serta meneroka potensi solar terapung di empangan dan lautan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata langkah berkenaan diperkukuh dengan pelaksanaan Projek Ladang Solar Berskala Besar 5 (LSS5) bernilai RM103 juta, yang dijangka membekalkan kapasiti 29.99-megawatt peak (MWp) menjelang Julai 2027.
Advertisement
Beliau berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja menyokong sasaran 40 peratus tenaga boleh baharu (TBB) nasional menjelang 2035, tetapi juga menjadi "magnet" pelaburan hijau bagi sektor berteknologi tinggi di negeri ini.
"Projek LSS5 di Byram ini akan melengkapkan portfolio tenaga hijau negeri sedia ada seperti LSS4 di Seberang Perai Tengah, projek solar di Bukit Bendera serta rancangan masa depan bagi solar terapung di Empangan Mengkuang dan Teluk Bahang," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek LSS5 itu di sini hari ini.
Pembangunan projek LSS5 diterajui anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Solar Voltech Sdn Bhd manakala Solarvest Holdings Bhd telah dilantik sebagai kontraktor Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pengoperasian.
Chow berkata kerjasama erat antara sektor awam serta swasta seumpama itu membuktikan sinergi dan kepakaran tempatan mampu menerajui transformasi tenaga yang berimpak tinggi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata Pulau Pinang turut berminat untuk menerokai pemasangan solar terapung di Empangan Mengkuang dan Teluk Bahang untuk rancangan masa depan.
Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri sedang menunggu garis panduan khusus daripada kerajaan Persekutuan bagi memastikan kualiti bekalan air minuman tidak terjejas sebelum pelaksanaan dimulakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang.
"Projek solar terapung ini khususnya menghadapi cabaran lebih besar berbanding empangan hidroelektrik kerana memerlukan kelulusan pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan kualiti air minuman tidak terjejas.
"Kekurangan garis panduan ini menjadi 'bottleneck' kelewatan pelaksanaan projek solar terapung di negeri ini setakat ini," katanya.
Selain di empangan, Zairil berkata beberapa syarikat solar tempatan termasuk Solar Voltech juga meninjau potensi penjanaan tenaga solar di kawasan lautan sekitar Pulau Pinang.
Beliau berkata pihak Penang Port Sdn Bhd juga menunjukkan minat untuk mengadaptasi teknologi berkenaan dan difahamkan syarikat pelabuhan tersebut telah melantik perunding bagi menjalankan kajian kemungkinan di kawasan seliaan mereka.
--BERNAMA