GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan melaksanakan Garis Panduan Penginapan Pekerja Tempoh Terhad di Kawasan Pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang baharu mulai 1 Sept ini, dengan penginapan berkenaan hanya dibenarkan di kawasan perniagaan dan perindustrian.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jason H’ng Mooi Lye berkata langkah itu bertujuan mengurus keperluan penginapan pekerja dalam tempoh peralihan memandangkan kapasiti Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) di negeri ini masih belum mencukupi.
“CLQ adalah hala tuju utama kerajaan negeri bagi penginapan pekerja. Penginapan pekerja tempoh terhad ini bukan bertujuan menggantikan CLQ, apatah lagi membuka ruang kepada penginapan pekerja secara kekal.
“Sebaliknya, cadangan ini adalah sebagai alternatif bagi mengurus tempoh peralihan sehingga kapasiti CLQ mencukupi dan keperluan penginapan pekerja dapat disusun dengan lebih baik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata garis panduan berkenaan diluluskan pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 12 Ogos lepas dan akan menjadi rujukan Jawatankuasa Khas Pertimbangan dan Penilaian Permohonan Penginapan Pekerja dalam menilai setiap permohonan berdasarkan kesesuaian lokasi serta elemen kawalan ditetapkan.
H’ng berkata jawatankuasa khas yang diluluskan penubuhannya pada 15 Mei lepas itu dianggotai antaranya Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), PLANMalaysia Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Tenaga Kerja Pulau Pinang (JTKPP).
Beliau berkata Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Sementara (TLQ) di kawasan PBT diperkenalkan pada 2024 sebagai penyelesaian sementara dengan tempoh kelulusan tiga tahun yang berakhir pada 31 Dis 2027, namun kerajaan negeri kini mahu mengecilkan kawasan yang dibenarkan bagi penginapan pekerja khususnya dengan mengurangkan penempatannya di kawasan kediaman.
“Sering kali PBT menerima aduan di kawasan perumahan apabila ada pekerja asing tinggal bersebelahan rumah penduduk dan berlaku kacau ganggu, sebab itu dalam tempoh dua tahun ini kita sudah mula membuat penapisan dan bagi garis panduan ini, kawasan perumahan memang kita tidak benarkan kecuali kawasan tertentu,” katanya.
Beliau memaklumkan ketika ini terdapat 1,617 TLQ berpermit di bawah pentadbiran MBPP dan 1,492 di bawah MBSP manakala jumlah CLQ masih terhad dengan masing-masing dua kemudahan di bahagian pulau serta empat di Seberang Perai.
H’ng berkata pengusaha boleh mendapatkan borang permohonan daripada PBT mulai hari ini dengan fi RM1,500 bagi setiap unit berkeluasan 750 kaki persegi dan ke bawah, manakala RM3,500 dikenakan bagi unit berkeluasan 751 kaki persegi dan ke atas.
Setiap pengusaha juga katanya, diwajibkan mendapatkan permit daripada PBT terlebih dahulu sebelum memohon Sijil Penginapan Pekerja (Certificate of Accommodation atau COA) daripada Jabatan Tenaga Kerja Pulau Pinang, manakala syarat kepadatan penghuni tertakluk kepada ketetapan jabatan berkenaan.
Beliau berkata kerajaan negeri turut mengambil kira keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk pengusaha restoran dan kilang berskala kecil yang menghadapi kesukaran menempatkan pekerja di CLQ kerana faktor jarak, sebelum garis panduan baharu itu dimuktamadkan.
-- BERNAMA