MALAYSIA

Pulau Pinang laksana pelarasan tarif air bermula Julai 2026

Bernama 01/08/2025 | 07:45 MYT
Tarif baharu itu akan meningkatkan hasil Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kira-kira RM20 juta selama enam bulan pada 2026. - Gambar hiasan/Bernama
GEORGE TOWN: Pelaksanaan pelarasan tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2) yang dijadual berkuat kuasa pada hari ini, hanya akan mula dilaksanakan di Pulau Pinang pada 1 Julai 2026.


Ringkasan AI
  • Penangguhan pelarasan tarif air di Pulau Pinang hingga 1 Julai 2026 beri manfaat kepada 715,957 pengguna, dengan anggaran hasil tambahan RM20 juta untuk naik taraf bekalan air.
  • Kadar tarif air baharu di Semenanjung Malaysia dan Labuan berkuat kuasa 1 Ogos 2025, kecuali Perak, melibatkan kenaikan purata 20 sen setiap meter padu.
  • Kerajaan Pulau Pinang melantik 19 Pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu baharu bagi tempoh Ogos 2025 hingga Julai 2026, diketuai oleh Exco S. Sundarajoo untuk memperkasakan komuniti India.


Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penangguhan tarif air selama setahun itu bakal memberikan manfaat kepada 715,957 pengguna di Pulau Pinang.

Beliau berkata tarif baharu itu akan meningkatkan hasil Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kira-kira RM20 juta selama enam bulan pada 2026, yang akan digunakan untuk projek menaik taraf perkhidmatan bekalan air secara keseluruhan, dengan butirannya diumumkan kelak.

"Bagi tarif baharu, purata kenaikan bil air untuk 79.88 peratus daripada 613,660 pengguna domestik (isi rumah) Pulau Pinang yang menggunakan hingga 35 meter padu (m3) sebulan adalah antara 30 sen dan RM2.55 sebulan.

"Purata kenaikan bil air bagi 95.38 peratus daripada 98,155 pengguna bukan domestik (perniagaan) Pulau Pinang yang menggunakan hingga 200m3 sebulan pula adalah antara RM3.60 dan RM35.70 sebulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan kadar tarif air bagi pengguna domestik hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dinaikkan bermula pada 1 Ogos, susulan pewartaan struktur baharu tarif air diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Kenaikan itu melibatkan peningkatan kadar purata sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu, menjadikan kadar baharu RM2.75 berbanding RM2.55 sebelum ini. Pelarasan itu bagaimanapun, tidak melibatkan Perak bagi kategori pengguna domestik.

SPAN memaklumkan pelaksanaan tarif baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha menyelaras struktur tarif air yang lebih mampan, selain membolehkan operator air negeri menampung kos operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air secara lebih berkesan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Chow berkata kerajaan negeri mengumumkan pelantikan 19 Pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) baharu bagi tempoh 1 Ogos 2025 hingga 31 Julai 2026.

Beliau berkata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo dilantik sebagai Exco yang bertanggungjawab menyelaras hal ehwal berkaitan HEB bagi pihak kerajaan negeri.

"Tahniah diucapkan dan diharapkan HEB akan terus membawa mandat serta memperkasakan pembangunan sosial ekonomi komuniti India di negeri ini," katanya.

Antara yang dilantik ialah Ahli Parlimern Jelutong RSN Rayer, Senator Dr A. Lingeshwaran, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Dalam K. Kumaran, Adun Batu Uban A. Kumaresan dan Pengerusi MIC Pulau Pinang Datuk J. Dhinagaran.

-- BERNAMA




#pelarasan tarif air #pulau pinang #Chow Kon Yeow #Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang #terkini