GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang sentiasa berusaha mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang teruk di seluruh negeri, khususnya dari Butterworth dan Seberang Jaya menghala ke pulau seperti ke Bayan Lepas serta George Town.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata antara langkah jangka masa pendek yang diambil ialah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

"Pada masa sekarang, Rapid Penang mempunyai 237 buah bas yang beroperasi di negeri ini dan bilangan bas akan ditambah secara berperingkat mengikut keperluan bagi penyediaan perkhidmatan yang lebih efisien dan berkualiti serta merangkumi laluan-laluan sosial.

"Di samping itu, kerajaan negeri telah membiayai sepenuhnya Pas Mutiara My50 bagi penggunaan perjalanan tanpa had secara percuma bagi semua pengguna harian dan menyediakan perkhidmatan bas percuma Central Area Transit (CAT) dalam kawasan pusat bandar George Town bagi mewujudkan sistem pengangkutan yang efisien dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara berterusan," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan K.Kumaran (DAP-Bagan Dalam) berhubung usaha mengatasi isu kesesakan jalan raya di Pulau Pinang.

Selain itu, Zairil (DAP-Tanjung Bunga) berkata perkhidmatan bas percuma Congestion Alleviation Transport (CAT) Bridge dan bas Bridge Express Shuttle Transit (BEST) Komtar dilihat sangat membantu dalam menyelesaikan masalah kesesakan dari Butterworth dan Seberang Jaya menghala ke pulau.

Kerajaan negeri juga katanya melaksanakan beberapa tindakan lain antaranya menambah jumlah lorong daripada tiga lorong kepada empat lorong sehala bagi menambah kapasiti lebuh raya.

Dalam usaha menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV), Zairil berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memanggil permohonan cadangan projek (RFP) untuk fasa satu pembinaan stesen pengecas EV di 26 kawasan di bawah MBPP.

"Kerja-kerja pemasangan stesen pengecas EV ini dijangka akan dimulakan pada suku pertama tahun depan," katanya.

-- BERNAMA