[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
MALAYSIA

Pulau Pinang minta kerajaan kongsi hasil cukai bagi pacu pembangunan negeri

Bernama 23/06/2025 | 09:11 MYT
Chow Kon Yeow berkata ini penting khususnya mengambil kira pelaksanaan semakan dan peluasan SST yang bermula 1 Julai ini. - Facebook Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminta kerajaan Persekutuan mempertimbang untuk berkongsi hasil cukai negeri itu dalam usaha menyokong pembangunan negeri serta program-program kebajikan dan sosial.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ini penting khususnya mengambil kira pelaksanaan semakan dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Julai ini.
Pada tahun lepas, beliau telah mengambil inisiatif mengemukakan permohonan supaya 20 peratus daripada hasil kutipan cukai di Pulau Pinang dikembalikan, namun cadangan itu tidak diluluskan oleh kerajaan Persekutuan.
"Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang kelulusan dan peruntukan kerajaan Persekutuan bagi projek-projek infrastruktur, namun (pada masa sama) kami juga memerlukan pembiayaan selanjutnya untuk melaksanakan projek berkaitan negeri selain program kebajikan dan sosial.
"Jika 20 peratus dilihat membebankan, apa kata 10 peratus? Kami memahami kedudukan (kerajaan Persekutuan), tetapi saya juga berpendapat ini masa sesuai untuk kerajaan memberi pertimbangan dengan serius," katanya pada sidang media mengenai pelaburan pembuatan Pulau Pinang yang diluluskan bagi tempoh suku pertama 2025 di sini, hari ini.
Chow berkata setiap negeri sedang berdepan kekangan dari segi mendapatkan hasil mencukupi untuk melaksanakan usaha pengurusan operasi.
Menyedari keadaan itu, beliau sedang memikirkan untuk turut meminta Menteri Besar dan Ketua Menteri lain untuk membangkitkan perkara berkenaan secara bersama.
Mengulas prospek pelaburan negeri itu, beliau berkata Pulau Pinang kekal optimis mengenai unjuran jangka pendek sehingga pertengahannya walaupun dalam senario ketidaktentuan luaran, termasuk tarif global.
"Di sebalik ketidaktentuan ini, InvestPenang terus menerima pertanyaan pelbagai negara setiap bulan, sekali gus membuktikan minat berterusan dalam pelaburan semula dan baharu," katanya.
Pada suku pertama 2025, negeri itu meraih pelaburan pembuatan diluluskan bernilai RM6.7 bilion yang menyumbang 22 peratus kepada Malaysia dan meletakkan Pulau Pinang sebagai penyumbang kedua terbesar.
Pelaburan yang merangkumi sebanyak 36 projek pembuatan diluluskan, dijangka mewujudkan sebanyak 4,577 peluang pekerjaan yang hanya mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah kuasa ekonomi.
Menurut Chow, 90 peratus daripada pelaburan berjumlah RM6.1 bilion yang disumbangkan oleh pelaburan langsung asing, hanya mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan maju dan inovasi yang diyakini.
"Angka itu hanya memaparkan kekukuhan perindustrian Pulau Pinang dengan 79 peratus daripadanya berkaitan sektor elektrikal dan elektronik manakala 15 peratus bagi mesin dan peralatan.
"Amerika Syarikat menerajui pelaburan asing bernilai RM2.4 bilion dan diikuti Hong Kong (RM1.3 bilion) serta Taiwan (RM1.1 bilion).
"Bagi kemajuan masa depan, Pulau Pinang kekal komited untuk meneroka peluang ekonomi baharu dengan menumpukan inovasi, memperkasa tenaga kerja dan membangunkan ekosisten berdaya tahan serta mengalu-alukan pelaburan transformatif dan berimpak tinggi," katanya.
-- BERNAMA
#pulau pinang #kerajaan Persekutuan #hasil cukai negeri #pembangunan #SST #Chow Kon Yeow