GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang dan Perak meneruskan perbincangan berkaitan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) esok, berlandaskan bekalan air terawat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perbincangan itu melibatkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang dan Perak selepas kedua-dua negeri berjaya memasuki fasa perbincangan yang positif.

"Saya mengesahkan ada perkembangan positif, ia telah berlanjutan selama beberapa tahun dan saya sendiri pernah berjumpa dua Menteri Besar Perak dan dua menteri berkaitan (air), akhirnya kami akan teruskan perbincangan sebelum ini.

"Ia satu perkembangan baharu iaitu kita akan bincang mengenai bekalan air terawat dan bukan berkaitan air mentah, ia berbeza dengan perbincangan sebelum ini, kita mulakan dengan perbincangan untuk bekalan air air terawat,'' katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung pelbagai isu berkaitan bekalan air dan alam sekitar di Pulau Pinang hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Perak tetap dengan pendirian tidak membekalkan air ke Pulau Pinang meskipun pembentukan kerajaan negeri sekarang adalah campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata NRECC menyambut baik perkembangan positif berkaitan isu bekalan air antara Pulau Pinang dan Perak serta ia akan menjadi sumber air baharu bagi negeri ini.

"Pihak kami (NRECC) bersedia menjadi pemudah cara isu tersebut. Sekarang isu berkaitan bekalan air antara kedua negeri ini di peringkat perbincangan kerja antara kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang Empangan Mengkuang antara tujuh empangan berisiko tinggi adalah berkaitan keterjaminan bekalan air dan bukan struktur empangan itu.

"Saya ingin maklumkan istilah tentang berisiko tinggi yang dikeluarkan oleh SPAN itu adalah berkaitan keterjaminan bekalan air dan bukannya (masalah) struktur empangan itu,ia dalam keadaan baik," katanya.

Terdahulu, Nik Nazmi mengadakan lawatan kerja di Empangan Mengkuang bagi melihat sendiri projek untuk diperbesarkannya selain turut membuat lawatan di Pantai Kerachut dan Taman Siakap.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya SPAN Charles Anthony Santiago dilaporkan berkata Laporan Pemantauan Paras Empangan Bekalan Air 2022 yang menyenaraikan tujuh empangan berisiko tinggi mendatangkan masalah sumber air kepada Loji Rawatan Air (LRA) dan kawasan sekitar, jika berlaku kegagalan fungsi berikutan faktor cuaca.

Ia melibatkan dua empangan di Kedah iaitu Pedu dan Muda; tiga di Melaka melibatkan Durian Tunggal, Asahan dan Jus; manakala masing-masing satu di Pulau Pinang dan Johor iaitu di Mengkuang serta Linggiu.

-- BERNAMA